Monday, February 4, 2013

Krisis Air: RM120 Juta Sepatutnya Dari Kerajaan Selangor Bukannya Kerajaan Pusat

Kerajaan PKR Selangor yang diketuai Menteri Besar, Khalid Ibrahim dalam kebanyakan kenyataan media seringkali menuding jari menyalahkan kelemahan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebagai punca berlakunya krisis air di Selangor.

SYABAS dituduh tidak berupaya menambah baik sistem bekalan air termasuk menukar ganti paip air lama yang menyebabkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) di negeri itu masih berada di paras yang tinggi.

Serentak dengan itu juga Khalid menjadikan alasan tersebut untuk menjustifikasikan pentingnya penstrukturan semula perkhidmatan air di negeri itu. Walhal umum mengetahui sejak Selangor diambil alih oleh PKR, kerajaan negeri telah bertindak membekukan perbelanjaan modal (Capex), akibatnya pemegang konsesi air itu terpaksa menghentikan kerja pembaikan serta menaik taraf paip.

Bila mana naik taraf paip air dihentikan disebabkan Capex disekat, bermakna sasaran 19.98% NRW gagal dicapai. Tanyalah sesiapa pun hatta kanak-kanak yang baru masuk sekolah rendah pun tahu, tanpa modal perbelanjaan tidak mungkin barang lama berganti baru.

Sedangkan ramai yang maklum sekiranya Capex tidak disekat, sasaran tersebut tidak mustahil dicapai. Sebagai contoh, dengan adanya Capex hasilnya pada tahun 2005 NRW yang ketika itu ialah 42.78% telah berjaya dikurangkan kepada 37.65 peratus. Manakala bagi tahun 2008 37.28% NRW berjaya diturunkan kepada 33.17%.

Namun selepas Kerajaan PKR Selangor menyekat SYABAS menggunakan modal perbelanjaan Capex kesannya NRW kekal diparas 33%. Jelas sekali tujuan Kerajaan PKR Selangor menyekat Capex tujuannya tak lain tak bukan untuk mensabotaj SYABAS supaya orang ramai akan memfokuskan kemarahan mereka kepada syarikat konsesi air itu selanjutnya menyokong saranan MB Selangor untuk penstrukturan semula bekalan air.

Menyedari masalah yang dihadapi SYABAS jika gagal ditangani segera kesan tempiasnya akan menyebabkan orang ramai berdepan risiko masalah bekalan air bersih akhirnya Kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengambil inisiatif memberi peruntukan tambahan RM120 juta.

Peruntukan itu adalah tambahan kepada dana RM606 juta yang telah diberikan kepada Syabas sebelum ini bertujuan untuk menambah baik bekalan air sekaligus mampu mengurangkan kesan sampingan terhadap kehidupan rakyat Selangor.

Sepatutnya PKR dan rakan sepakatannya dalam PR yang memerintah Selangor tika ini yang sebetul-betulnya perlu memikul tanggungjawab membantu SYABAS apatah lagi Kerajaan Negeri sendiri memiliki kepentingan 30% dalam syarikat konsesi air itu.

Dengan kata lain bantuan kewangan RM120 juta mahupun RM606 juta itu patutnya adalah tanggungjawab Kerajaan PKR Selangor dan bukannya Kerajaan Pusat.

Tapi disebabkan MB yang paling lembap dalam sejarah negeri itu terlampau kemaruk mahu mengambil alih SYABAS demi kepentingan kroni sendiri akhirnya tanggungjawab tersebut gagal dilakukan.

Mujurlah Kerajaan Pusat cepat menyedari denyut nadi kebimbangan khalayak umum, lantaran itu tanpa mengira perbezaan politik maka bantuan kewangan tetap disalurkan demi memastikan keselesaan rakyat disamping mengekang kesan sampingan lain terhadap perkembangan ekonomi negeri.

Jika diharapkan Kerajaan PKR Selangor yang asyik mengutamakan kepentingan politik silap gaya saban minggu ada sahaja masalah bekalan air berlaku sebagaimana yang terjadi baru-baru ini.

Apapun, majoriti rakyat Selangor kini semakin faham permainan politik Kerajaan PKR Selangor yang ternyata mendahulukan perihal politik kepartian mengatasi kepentingan khalayak, bukannya satu model kepimpinan yang baik.

Cukuplah hampir 5 tahun rakyat Selangor dibuai retorik politik dan polemik yang tidak berkesudahan. Justeru itu, eloklah PRU 13 kelak ditalkinkan sahaja Khalid Ibrahim dan kerajaannya itu.

HADI DOLAK DALIH UNTUK SELAMATKAN DIRI

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berdolak dalik dalam isu kalimah ALLAH dalam beberapa perkara. Pertama, untuk menyelamatkan dirinya beliau menuduh UMNO pihak yang bertanggungjawab mewujudkan kekeliruan di kalangan penganut agama di Malaysia. Beliau membuat komen tersebut ketika menjawab dakwaan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Pas mengeksploitasi agama dan kalimah ALLAH untuk memancing undi. Abdul Hadi perlu ingat bahawa beliau berdiri di atas pentas Pakatan Rakyat bersama-sama Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang pada 8 Januari untuk membaca kenyataan rasmi pembangkang yang menyokong penggunaan kalimah ALLAH di dalam kitab Injil.

Lima hari kemudian Majlis Syura Ulama Pas menukar nada pula apabila memutuskan untuk menolak penganut Kristian menterjemahkan istilah 'God' kepada ALLAH di dalam kitab suci mereka. Bagaimanapun Ketua Pembangkang tegas menyatakan beliau tidak bersetuju dengan perubahan pendirian Pas dan tetap berpegang kepada kenyataan asal.

Perubahan pendirian ini merupakan pusingan 180 darjah oleh parti itu yang pada awalnya bersetuju dengan PKR dan Dap tetapi akhirnya merenggangkan pendirian tersebut daripada dua sekutu politiknya itu. Tindakan parti itu membolehkan ia dilabel sebagai parti sesumpah malah lebih hina daripada itu kerana sanggup memperkotak katikkan Islam demi agenda politik sempitnya.

Bagaimana pula UMNO boleh dituduh mempergunakan Islam untuk kepentingan politik sedangkan selama ini Pas lah yang terbukti menyongsang daripada landasan perjuangannya. UMNO konsisten sejak ditubuhkan pada 1946 hinggalah menjadi kerajaan persekutuan lebih 50 tahun untuk mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan dan selaras dengan itu memajukan umat serta meningkatkan syiar Islam di negara ini tanpa henti. Kalau UMNO mempolitikkan agama ia adalah kerana demi mempertahankan kesucian, maruah serta martabat agama dan melindungi kepentingan umat Islam.

Pas pula dilihat menjadi duri dalam daging yang bertindak sebagai kuman merbahaya di dalam tubuh badan umat Islam. 'Amanat Haji Hadi' yang mengkafirkan tiga juta ahli UMNO dan tidak ditarik balik oleh Presiden Pas itu menjadi bukti terbesar bahawa parti itulah yang memecahkan belahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Kesatuan umat Islam dan Melayu menjadi lemah adalah angkara Pas bukannya UMNO. Kedua, Abdul Hadi dilihat bermain silap mata sekali lagi dalam isu pengguguran Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa daripada keanggotaan Majlis Syura Ulama parti itu. Abdul Hadi sekali lagi nampaknya ingin menyelamatkan kulitnya apabila meminta Nasharuddin berdoa kepada ALLAH untuk melembutkan hati Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat untuk meletakkannya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Umum tahu, Abdul Hadi dan Nasharuddin adalah dua tokoh kuat dalam kumpulan kerajaan perpaduan (UG) yang bertegang leher dengan golongan Anwarinas dalam Pas berhubung isu kerjasama dengan UMNO. Apabila Nasharuddin sudah tersepit, Abdul Hadi melepaskan diri daripada membantu kawannya. Sebaliknya tanpa rasa bersalah beliau menyeret ALLAH pula untuk tujuan politik peribadinya. Apakah beliau sebagai Presiden Pas amat lemah sekali dan tidak berkuasa langsung untuk menentukan siapa yang akan menjadi calon parti itu dalam pilihan raya?

Apakah Abdul Hadi amat takut kepada sikap kuku besi Nik Aziz yang boleh mengatur setiap keputusan dan tiada siapa yang boleh membantah termasuk presiden sendiri? Di manakah maruah Abdul Hadi yang boleh berpelukan dengan pemimpin Dap tetapi menyisihkan sekutunya sendiri apabila politik peribadinya tergugat?

Ketiga, dalam isu kafir mengkafir yang mana beliau terlibat secara langsung 32 tahun lalu, Abdul Hadi juga berdalih dengan menafikan beliau mengeluarkan amanat tersebut. Beliau sanggup menggunakan ALLAH dan Islam untuk menyuntik unsur perpecahan di dalam masyarakat Islam sehingga berlaku porak peranda yang dahsyat sehingga kini.

Malangnya seperti sikap hipokrit pemimpin-pemimpin Pas yang lain, Abdul Hadi memilih untuk meletak kesalahan amanat tersebut ke atas ahli parti itu dan tidak sanggup mengaku kesalahan sendiri. Abdul Hadi rela mempolitikkan ALLAH tetapi tidak sanggup menanggung dosa yang telah beliau lakukan terhadap umat Islam di negara ini. ends

ANWAR PANIK PENGUNDI MUDA PILIH NAJIB

Jika pembangkang sering mendabik dada bahawa mereka mendapat sokongan padu pengundi muda terutama daripada golongan mahasiswa, mungkin fantasi ini perlu dilihat semula berdasarkan realiti semasa dan fakta. Fantasi dan impian adalah sesuatu yang enak dinikmati hanya sewaktu berada dalam alam mimpi sahaja!

Beberapa kajian menunjukkan Barisan Nasional akan kembali dipilih sebagai Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak dan Datuk Seri Najib Tun Razak akan tetap menerajui pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri. Terkini kajian berkaitan pandangan politik mahasiswa di tiga universiti awam meletakkan Datuk Seri Najib lebih popular berbanding Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim serta pemimpin Pakatan Rakyat lain.

Kajian yang dilakukan oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES) ke atas 3,015 responden antara 9 hingga 12 Disember tahun lalu, mendapati 67.4 peratus siswa menyokong Perdana Menteri berbanding 52.2 peratus kepada Anwar. Presiden Pas Abdul Hadi Awang pula mendapat 33.1 peratus, manakala Ketua Parlimen Dap, Lim Kit Siang tercorot dengan hanya 15 peratus.

Kajian tersebut membabitkan pelajar dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia. Jika hasil bancian dipecahkan pula antara negeri di bawah BN dan Pakatan Rakyat, nyata sekali Datuk Seri Najib amat popular sekali di kalangan siswa Kelantan dengan 60.8 peratus, diikuti Pulau Pinang (55 peratus), Kedah (68.3 peratus), Selangor (54 peratus), Sabah (54 peratus) dan Sarawak (61.6 peratus).

Angka yang diperolehi memberi bayangan jelas kemungkinan besar BN akan menawan semula Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah sementara Sabah serta Sarawak tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri. Maka unjuran pembangkang bahawa mereka akan berarak ke Putrajaya nampaknya hanya satu mainan fatamorgana yang menipu diri mereka sendiri.

Mahasiswa memilih Datuk Seri Najib disebabkan beliau menepati ciri-ciri seorang pemimpin yang berjaya seperti mana yang digariskan di kajian tersebut. Ini termasuk kualiti kemampuan mentadbir negara, keadilan dan kesaksamaan, bersih dan bebas dari sebarang isu, menepati janji, kebolehupayaan dan mendampingi rakyat.

Perbezaan sifat-sifat ini antara Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang adalah seperti langit dan bumi. Melihat kepada karektor dan peribadi kedua individu ini pun sudah cukup menyakinkan rakyat siapa sebenarnya pilihan mereka. Datuk Seri Najib adalah seorang yang bersifat lemah lembut sama seperti ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Datuk Hussein.

Sesiapa sahaja yang pernah bekerja atau bersama Perdana Menteri akan mendapati watak keperibadian beliau yang amat mudah bergaul dengan semua lapisan masyarakat - dari golongan bangsawan hinggalah kumpulan marhaen. Dengan lirik wajah yang sentiasa tersenyum dan merendah diri, Datuk Seri Najib adalah idola di hati rakyat.

Bagaimana pula dengan Anwar? Sesiapa juga yang pernah berdamping atau berkerja dengan beliau akan mendapati dua watak yang berbeza antara kehidupan peribadi dan politik. Di luar dan di depan rakyat, Anwar menonjolkan sifat-sifat Islamik dan warak berlatarbelakangkan sejarahnya sebagai bekas Presiden ABIM.

Ceramah-ceramahnya juga tidak kering dengan selitan ayat-ayat suci Al-Quran dan petikan mutiara hadis. Beliau juga gemar dilihat sebagai intelektual Islam berfikiran liberal yang memetik kata-kata enak pujangga dari karya-karya agung penulis Barat. Namun disisi peribadinya, lain pula ceritanya. Anwar adalah seorang yang bengis, pemarah, suka mengherdik apatah lagi seorang yang pendendam. Lihat bagaimana beliau melayan wartawan dari media arus perdana yang mengajukan soalan-soalan panas dan reaksi Anwar terhadapnya.

Petugas media seringkali dilabel malah dimaki hamun sebagai anjing BN, alat UMNO, budak suruhan kerajaan dan sebagainya - hamburan kata-kata kesat penuh dengan kehinaan yang tidak akan keluar daripada mulut seorang pemimpin yang berjiwa besar dan berakhlak mulia. Peribadi Anwar juga sering dikaitkan dengan pelbagai skandal seks jijik daripada yang melibat pelacur Cina hinggalah kepada lelaki jambu!

Sebab itulah mahasiswa dari kalangan kalangan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat seperti Kelantan dan Pulau Pinang memilih Datuk Seri Najib kerana mereka sedar dan mampu membuat analisis siapa Perdana Menteri dan siapa pula Ketua Pembangkang. Dalam erti kata yang lain pengundi muda sudahpun membuat pilihan mereka antara yang mana satu permata manikam dan yang mana satu kaca murahan.

Saturday, February 2, 2013

Hadi Perlu Dipecat Dari Majlis Syura

Langkah drastik PAS memecat keanggotaan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dari Majlis Syura Ulama parti itu terus menarik perhatian umum sehingga memaksa ramai pimpinan PAS terpaksa tampil dengan pelbagai kenyataan untuk menjustifikasikan logik tindakan tersebut. Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya dalam usaha mengurangkan kegusaran ahli dan penyokong bawahan, cuba memberi gambaran isu pemecatan itu hanya proses biasa seumpama hubungan suami isteri yang bila-bila masa sahaja boleh bercerai berai.

Manakala Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula menganggap Ustaz Nasharudin kini hanyalah ahli biasa yang tidak berpengaruh dan jika bekas Timbalan Presiden PAS itu menyertai UMNO sekalipun tiada kesannya pada PAS.

Ulasan sedemikian yang buruk nadanya bukan satu perkara baru bagi Hadi, sudah menjadi tabiat semulajadinya memperlekehkan maruah orang lain. Sebelum ini Hadi pernah menghina rakyat Sarawak sebagai golongan yang tiada pendidikan dan masih memakai cawat.

Yang terbaru dihinanya guru sekolah merendah kononnya hanya layak mengajar ABC sahaja. Hakikatnya kenyataan dari kedua-dua pimpinan tertinggi PAS itu mahupun pelbagai lagi kenyataan dari pimpinan PAS yang lain, sebetulnya tersirat kegusaran yang mendalam, kerana itu seboleh mungkin mereka cuba membina gambaran pada ahli dan penyokong PAS supaya memandang remeh saja isu pemecatan Ustaz Nasharudin.

Mereka seperti baru tersedar wujudnya impak buruk dari kes pemecatan itu yang mampu menjejaskan kelancaran jentera parti serta kesan sampingan yang akan menggugat kepercayaan ahli dan penyokong terhadap PAS itu sendiri.

Namun segalanya sudah terlambat, PAS tidak mengambil iktibar peristiwa lepas yang melibatkan pemecatan bekas Naib presiden PAS, Dr Hasan Ali dan bila kini kesilapan sama diulangi ke atas Ustaz Nasharudin, ia seumpama PAS sengaja menempah keranda sendiri. Sekarang kalangan ahli dan penyokong PAS tidak hanya mempertikaikan kenapa Ustaz Nasharudin dipecat tanpa diberi peluang pembelaan diri tapi mereka juga teramat ingin tahu mengapa Mursyidul Am PAS yang terkenal paling kerap gagal menghadiri mesyuarat badan tertinggi PAS itu terkecuali dari tindakan yang sama.

Malah bukan satu rahsia pun, ramai ahli PAS memperkatakan kelesuan Majlis Syura Ulama PAS paling ketara kelihatan sejak ia dipengerusikan oleh Nik Aziz.

Sepanjang penggal yang lalu pula, langsung tiada mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu yang bersangkut paut dengan dasar parti termasuklah membabitkan isu negara Islam dan hukum hudud yang menjadi pertikaian DAP serta PKR.

Dalam masa yang sama sudah banyak kedengaran rungutan mempersoalkan kenapa seorang lagi ahli Majlis Syura iaitu bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang juga jarang hadir ke mesyuarat masih terus diberi peluang menganggotai badan tersebut. Paling utama ahli bawahan serta penyokong parti tertanya-tanya mengapakah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terus menerus bebas dari tindakan disiplin?

Umum mengetahui Hadi telah secara terbuka mendahului keputusan Majlis Syura Ulama apabila dalam mesyurat tertinggi pemimpin PR yang disertainya, beliau telah bersetuju membenarkan kalimah Allah s.w.t digunakan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Tindakan Hadi yang membuat keputusan songsang dan bertentangan dengan keputusan rasmi Majlis Syura Ulama PAS bukan sahaja melanggar kebiasaan malah ia meninggalkan tidak sedikit impak yang memalukan sekaligus menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan PAS.

Dilihat dari segi kesalahan yang telah dilakukan oleh Hadi, sewajarnya beliau sudah layak untuk dipecat dari Majlis Syura Ulama PAS. Demikian halnya tindakan yang sama juga sepatutnya sudah diambil terhadap Nik Aziz dan Mat Iraqi. Namun kenapa ketiga-tiga mereka terselamat?

Walau apapun persoalan yang khalayak umum lontarkan serta apa sahaja yang ahli PAS pertikaikan, satu hakikat yang pasti PAS kini sudah cukup sinonim dengan corak kepimpinan diktator dan ruang kebebasan juga semakin sempit. Itu hakikatnya.

Pakatan Tak Perlu `Jolok-Jolok’ Bila Nak Bubarkan Parlimen – PM

AMPANG , 2 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini secara sinis memerli Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pemimpin pakatan pembangkang yang mahu membubarkan DUN Selangor 26 Februari ini.“Bila sampai masanya, tak lama lagi, tak payah nak `jolok-jolok’ saya. Tak payah nak kata bubar selepas Chap Goh Mei, ini nak jolok-jolok sahaja, nak buat apa.

“Saya tahulah bila masa nak mengadap yang DiPertuan Agong, minta Parlimen dibubarkan. Masanya akan tiba, tak lama lagi. Kita sekarang ini mahu memberikan tumpuan, Bajet 2013 ini mesti kita tunaikan.“Hari ini kita tengok BRIM 2.0 lebih baik dari BRIM 1.0, insya-Allah kalau ada BRIM 3.0, ia akan lebih baik dari BRIM 2.0,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran BRIM 2.0 di sini, hari ini.

Tambahnya, BRIM 2.0 ini lebih baik kerana mereka yang bukan berpendapatan kurang dari RM2000 pun dapat.Jelas beliau lagi kerajaan sudah menyediakan RM3 bilion, yang sudah mendaftar sehingga hari ini berjumlah 7.3 juta dan permohonan akan dilanjutkan sehingga ke hujung bulan ini.“Kita tidak mahu ada sesiapa pun yang tercicir, kalau ditolak masih boleh merayu lagi.

Inilah kerajaan kita, kerajaan Barisan Nasional yang mahu memastikan bahawa semua layak untuk dapat BRIM, akan menerimanya.“Inilah janji kita, janji kerajaan BN merupakan yang ditepati. Bukan seperti janji palsu, janji kosong yang ditabur oleh kerajaan pakatan pembangkang, khususnya dalam memikat hati rakyat Selangor,” tambahnya.

Kata beliau lagi, komitmen dan sambutan rakyat di Ampang dan Pandan hari ini merupakan satu bentuk sokongan yang terbuka kepada BN, khususnya selepas hampir lima tahun diperintah kerajaan pakatan pembangkang.

“Tempoh lima tahun, sudah cukup untuk tempoh kita menilai, masanya sudah tiba bagi kita untuk melakukan perubahan, kita harus memastikan bumi Selangor ini harus kembali kepada pangkuan BN pada PRU13 ini,” ujarnya lagi

Friday, February 1, 2013

Rumah Mampu Milik Hanya Untuk Jutawan

Semenjak Pulau Pinang diterajui DAP hampir 5 tahun lalu sudah banyak rungutan rakyat kedengaran berikutan urus tadbir Kerajaan Negeri yang semakin jauh dari denyut nadi khalayak bawahan khususnya dalam isu perumahan yang mampu milik. Rata-rata projek perumahan yang diluluskan lebih menjurus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan tinggi, sedangkan golongan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana terus terpinggir dari perhatian Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Paling terkesan dengan keadaan ini ialah orang Melayu Islam dan India, pun begitu semenjak setahun kebelakangan ini orang Cina juga kian ramai mengeluh dengan peningkatan mendadak harga rumah di negeri itu. Polisi dan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang mendahulukan kepentingan pemaju perumahan dan golongan berpendapatan tinggi merupakan punca utama senario sebegini makin melarat dan menambah parah kehidupan rakyat bawahan.

Lebih mendukacitakan rakyat bila mana Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan pula yang Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama syarikat swasta akan melaksanakan projek perumahan 'mampu milik' dengan harga siling jualan yang mencecah RM400,000 seunit. Bila disebut mampu milik maksudnya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan golongan rakyat, namun dengan harga tersebut agaknya siapakah yang layak memiliki rumah sendiri yang telah lama mereka impikan?

Wakil rakyat DAP sudah tentu dan golongan jutawan sudah semestinya lebih daripada mampu. Persoalannya adakah semua rakyat Pulau Pinang adalah YB yang bergaji puluhan ribu setiap bulan ataupun semua penduduk Pulau Pinang merupakan jutawan? Tentunya tidak, kerana di Pulau Mutiara ini tetap ada golongan berpendapatan rendah, sederhana disamping orang yang kaya raya. Bagi rakyat berpendapatan rendah yang bergaji sekitar RM1,500 hingga RM3,000 tentunya langsung tak tercapai dek akal untuk mendiami rumah yang sedemikian harganya, tunggu kucing tumbuh tanduklah jawabnya.

Hatta untuk golongan sederhana dengan pendapatan sekitar RM5,000 ke bawah dengan segala kos tanggungan sara hidup seharian untuk sekeluarga harga segala macam komitmen pinjaman lain juga hanya mampu berangan sahaja seumur hidup selagi Pulau Pinang terus diperintah oleh DAP dan PR. Sebetulnya khalayak faham mengapa Guan Eng yang hanya bijak beretorik dan acapkali menipu itu tiba-tiba sahaja mengumumkan projek perumahan yang kononnya 'mampu milik' tersebut.

Tak lain tak bukan dek kerana tercabar dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pada akhir tahun lalu. Semasa PM merasmikan Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 9 Disember 2012, beliau telah mengumumkan komitmen Kerajaan Pusat yang diterajui BN untuk membina sejumlah 20,000 unit buah rumah kos rendah dan rumah mampu milik.

Jumlah tersebut termasuklah yang sedang dalam pembinaan dan juga projek perumahan baru yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat mengikut fasa perancangan. Ia melibatkan pembinaan 10,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan 10,000 unit lagi dibina oleh JKP Sdn. Bhd., Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Harga rumah kos rendah jenis flet/apartmen bermula dari RM30,000 hingga RM75,000, manakala rumah kos rendah jenis berkembar setingkat, perumahan teres pula sekitar RM35,000 hinggalah RM100,000 yang mampu dimiliki oleh rakyat yang berpendapatan kurang dari RM2,500 sebulan.

Antara projek perumahan yang sedang dan telah dibina untuk golongan berpendapatan rendah dengan harga yang mampu milik ini termasuklah di Taman Kuala Sungai Pinang, Taman Sungai Acheh, Mustiara Vista, Sri Bayu dan banyak lagi. (Maklumat lanjut sila layari laman sesawang Perda, SPNB dan JKPSB) Manakala untuk perumahan samada dari jenis teres setingkat dan berkembar ataupun apartmen yang berharga antara RM100,000 ke atas hinggalah RM400,000 pula turut dibina untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana mengikut had kelayakan masing-masing.

Contoh projek perumahan yang sedang dibangunkan serta yang dalam perancangan termasuklah di Taman Pancur Utama, Taman Sungai Dua Utama, Taman Limbungan Indah dan lain-lain projek yang juga boleh diperolehi maklumat lanjutnya dari laman sesawang pemaju berkaitan. Apa yang pasti dan jelas, ini semua adalah kesinambungan komitmen Kerajaan Pusat yang sentiasa prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab tambahannya kepada rakyat sekalipun dari segi memenuhi keperluan perumahan sepatutnya ia 100% dipikul oleh Kerajaan Negeri.

Tapi kalau dibiarkan begitu sahaja Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan polisi perumahannya yang hanya memenuhi selera golongan berpendapatan tinggi atau lebih tepat lagi untuk keperluan jutawan sahaja, akibatnya kelak khalayak ramailah rakyat jelata yang terus kepingin untuk memiliki rumah sendiri. Justeru itu jika mahu bercakap soal perumahan mampu milik yang sebenar, nyata sekali konsep yang diterjemahkan oleh Kerajaan Pusat adalah yang paling tepat kerana semua golongan masyarakat samada yang berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi, bukan begitu?

Strategi Lagakan Tun M-Najib: Bukti PR Ketakutan

Walaupun puak pembangkang berterusan menghentam mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad (Tun M) namun, mereka tidak dapat menafikan yang ‘aura’ beliau begitu kuat dan masih menghantui mereka, dan juga musuh-musuhnya. Biarpun beliau sudah bersara dan hanya menjadi pemerhati kepada perjalanan politik negara sambil sekali sekala memberi pandangan dan pendapat, namun pandangan beliau tetap dianggap sebagai pemantauan dan pendapat beliau dituduh sebagai arahan.

Tun Mahathir adalah seorang yang berterus-terang dan rasanya tiada seorang pun yang mengenalinya secara langsung atau sekadar melalui media, yang dapat menafikannya. Apabila beliau merasakan masa sudah tiba bagi Tun Abdullah berundur, beliau menyatakannya tanpa selindung-selindung. Ini kerana beliau yang kita kenali, tidak terikat kepada budaya Melayu iaitu ‘pukul anak sindir menantu’ kerana beliau percaya kepada pentingnya berkata benar biarpun pahit.

Menyedari ‘aura’ Tun M mampu mempengaruhi perjalanan politik Malaysia, maka pembangkang cuba menukar ‘aura’ itu agar memberi keuntungan kepada mereka. Oleh itu, dalam pada mereka meneruskan kutukan dan cacian terhadap Tun M, mereka cuba membayangkan yang Tun M turut bersetuju dengan mereka berkenaan ‘kelemahan’ kerajaan BN dan Perdana Menteri. Harapan mereka agar aura Tun M akan dapat mempengaruhi rakyat untuk turut melihat kelemahan kerajaan BN.

Maka, dari situlah timbulnya kisah kononnya Tun M bersekongkol dengan Tan Sri Muhyiddin untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib yang digebangkan di Malaysia Chronicle. Dan semalam, timbul pula kisah kononnya Tun M ‘menyuruh’ Dato’ Seri Najib meletak jawatan jika BN gagal menang besar dalam PRU kali ini.

Penjelasan Tun M bahawa perletakan jawatan apabila gagal mencapai sasaran merupakan amalan biasa sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman iaitu bergantung kepada kehendak ahli, telah ‘diperkecilkan’ di dalam laporan media pembangkang. Dalam kenyataan yang sama juga, Tun M ada mengakui bahawa Dato’ Seri Najib mewarisi BN dalam keadaan lemah, tetapi pihak pembangkang telah membayangkan seolah-olah beliau berkata yang kerajaan Najib lemah.

Bayangan-bayangan dan kisah-kisah seperti ini dimainkan dengan giat di portal-portal pembangkang terutama yang berbahasa Inggeris di mana sasaran pembacanya ialah mereka-mereka yang lebih rasional. Ianya kelihatan semakin rancak apabila PRU semakin dekat. Apa yang sebenarnya berlaku ialah Tun M memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib.

Beliau juga telah menyatakan bahawa beliau akan turun membantu secara sukarela sekiranya didapati ada keperluan untuk berbuat demikian. Dan seperti yang kita tahu, jika Tun M merasakan yang Dato’ Seri Najib tidak layak maka beliau pasti tidak akan teragak-agak untuk menyatakannya secara terus-terang dan tidak akan sekali-kali berselindung di sebalik bahasa-bahasa manis sekadar untuk menyedapkan hati sesiapa kerana itulah sifat beliau, dan rakyat semua sudah memakluminya.

Dan inilah yang amat ditakuti oleh PR iaitu Tun M memberi sepenuh sokongan kepada Dato’ Seri Najib dan BN. Sedangkan, apa yang dapat dilihat kini ialah aura Dato’ Seri Najib seorang sahaja sudah cukup untuk menenggelamkan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Hadi Awang. Sekiranya Tun M pula menambah lagi sinaran aura di belakang Dato’ Seri Najib, apalah daya pembangkang untuk melawan BN nanti.

Justeru, percubaan melaga-lagakan kedua-dua tokoh ini terus dilakukan walaupun setakat ini kelihatannya langsung tidak berjaya. Ini bukan sahaja kerana rakyat sudah mengenali sikap Tun M yang akan berterus terang tetapi lebih-lebih lagi ialah kerana rakyat juga sudah mula mengenali dan menyayangi Dato’ Seri Najib.

Oleh itu, pembangkang tidak perlulah bersusah payah menjatuhkan maruah sendiri dengan cuba meraih sokongan melalui aura Tun M. Nampak sangat, para pemimpin pembangkang tidak punya ketokohan sendiri untuk menambat hati rakyat agar meyakini dan menyayangi mereka, sehinggakan terpaksa menumpang ketokohan musuh ketat mereka pula.