Thursday, July 11, 2013

PRK Kuala Besut: PAS Tidak Percaya Azlan?

Walaupun melafaz baiah sudah menjadi amalan PAS sekian lama, tetapi tindakan PAS menyuruh calonnya bagi PRK Kuala Besut iaitu, Azlan @ Endut Yusoh melafazkan baiah di khalayak ramai, dilihat sebagai masalah ‘kurang keyakinan diri’ yang kronik bagi parti itu.  Selama ini, PAS hanya menuntut calon melakukannya secara tertutup di dalam bilik dengan dihadiri pemimpin-pemimpin tertentu sahaja.  Inilah kali pertama parti itu menuntut lafaz baiah secara terbuka di hadapan orang ramai.

Akur dengan arahan parti, Azlan telah pun melafazkan baiah bahawa beliau akan dilaknat Allah SWT jika melompat parti sekiranya PAS menang di Kuala Besut.

Persoalan yang bermain di fikiran ramai ialah kenapakah PAS mengambil pendekatan berbeza terhadap Azlan?  Kenapa beliau tidak dituntut berbaiah secara tertutup sahaja?  Apa signifikannya baiah tersebut diperdengarkan kepada umum?

Satu-satunya penjelasan ialah PAS meragui kesetiaan Azlan.  Harapan PAS, Azlan tidak akan berani melanggar baiah sekiranya terlalu ramai saksi yang telah mendengar beliau melafazkannya.  

Azlan merupakan kontraktor bangunan dan kejuruteraan awam – Kelas A.   Ini sekali gus meletakkan beliau sebagai salah seorang yang mendapat manfaat langsung dari kemajuan yang di bawa oleh kerajaan Barisan Nasional di negara ini.  Malah, kita tidak hairan jika kebanyakan projek-projek yang membolehkan beliau menjadi ‘orang kaya’ di Kuala Besut, merupakan projek-projek kerajaan BN sama ada secara langsung atau tidak langsung. 

Dalam kata lain, Azlan kemungkinan besar telah terlalu banyak memakan budi UMNO.  Justeru, PAS amat khuatir jika beliau bertindak ‘membalas budi’ UMNO dengan cara lompat parti.  

Jika benar Azlan telah memakan budi UMNO sehingga dinobatkan sebagai orang kaya, maka tindakannya untuk bertanding atas tiket PAS di Kuala Besut boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan.

Ini kerana PAS sering mencemuh dan menuduh BN sebagai ‘tidak berbuat apa-apa’ untuk membantu Melayu walaupun telah lebih sedekad berkuasa.   PAS juga sering menuduh UMNO memberi projek kepada kroni sahaja dan membiarkan rakyat jelata hidup susah, tertindas dan sengsara.

Namun, kewujudan Azlan, seorang kontraktor PAS yang kaya dengan sendirinya menafikan segala tuduhan tersebut.  Tidak mungkin Azlan kaya tanpa UMNO memainkan peranan untuk menyediakan peluang perniagaan kepadanya, termasuk syarikat-syarikat pembekalan atau sokongan bagi membolehkan perniagaannya maju.   Persekitaran dan peluang perniagaan sebegini hanya boleh diwujudkan oleh kerajaan yang cekap dan prihatin.

Atas hakikat inilah maka kita tidak hairan jika PAS begitu meragui kesetiaan Azlan. Pada bila-bila masa saja Azlan boleh ‘terkenang’ kembali akan budi UMNO kepadanya.  Atau Azlan mungkin juga perlu mengharap budi UMNO lagi di masa depan bagi membolehkan perniagaannya terus berkembang maju.  Di waktu itu, perkara utama bagi Azlan pastinya mengenai ‘survival’ diri dan bukan lagi ‘survival’ PAS.

PRK Kuala Besut: BN Berpeluang Menang Besar

PRK Kuala Besut pada 24 Julai ini dilihat memberi banyak kelebihan kepada Barisan Nasional dari berbagai aspek. Kuala Besut mempunyai 17,638 pengundi dengan majoriti Melayu.  Oleh yang demikian pertandingan adalah antara UMNO dan PAS.  Dalam PRU-13 yang lalu, BN telah memenangi kerusi ini dengan majoriti yang agak selesa iaitu 2,434.

Memahami kehendak rakyat masa kini yang inginkan perubahan, BN meletakkan calon muda dan berpendidikan tinggi iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga merupakan anak jati Kuala Besut.

Tengku Zaihan berusia 37 tahun merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Bahagian Korporat. Beliau berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM).   Bapa beliau adalah seorang guru agama dan amat dikenali oleh penduduk kawasannya.   Dengan latarbelakang keluarga dan pekerjaannya, pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon langsung tidak mengejutkan masyarakat setempat.

Tengku Zaihan juga mempunyai sifat rendah diri dan mudah mesra sepertimana kebanyakan ‘orang-orang pantai’ iaitu gelaran yang diberi kepada masyarakat di situ.

Selain faktor calon, BN juga dilihat mempunyai kelebihan dari segi isu-isu semasa.  Perkembangan selepas PRU-13 menunjukkan bahawa ramai orang-orang PAS mula kembali ke bumi nyata dan menyedari permainan DAP.   Melalui keputusan PRU itu, jelas terbukti bahawa DAP langsung tidak mengundi PAS dan hanya berminat untuk memperjuangkan kepentingan kaum Cina.

Perlu diingatkan juga bahawa Terengganu merupakan tempat bermulanya perpecahan umat Islam yang bertitik-tolak dari Amanat Haji Hadi, pemimpin PAS negeri itu.   Amanat tersebut telah mengkafirkan UMNO kerana dikatakan menggunapakai perlembagaan penjajah yang sekular kerana memisahkan agama dengan politik.

Walaubagaimanapun, isu pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur yang sedang hangat diperkatakan kini telah memaksa PAS akur bahawa UMNO dan perlembagaan UMNO bukan kafir. Malah UMNO dan perlembagaan itulah yang memastikan agama Islam berada di kemuncak tertinggi di dalam negara ini. 
Namun, DAP terus menerus mencabar kedudukan agama Islam dan Melayu yang mana menyebabkan penyokong-penyokong PAS merasa ‘terganggu’ dan ‘cuak’ untuk terus memberi sokongan kepada PAS selagi parti itu bekerjasama dengan DAP.

Justeru, kita menyangka BN tidak punya masalah untuk menang besar dalam PRK ini andainya jentera parti bijak mengenengahkan isu-isu semasa seperti ini, selain isu-isu setempat yang dekat dengan masyarakat Kuala Besut.

Keputusan PAS meletakkan seorang kontraktor iaitu Azlan Yusoff, dilihat tidak akan berjaya menggugat BN.  Azlan berumur 48 tahun lebih dikenali dengan panggilan ‘Che Long’ oleh penduduk tempatan pernah memiliki sebuah stor kayu di daerah itu.

Dari apa yang tersebar di internet, PAS nampaknya menjulang Azlan sebagai ‘orang kaya’ sebagai justifikasi kepada pencalonannya.  Kita tidak faham bagaimana ‘kaya’ boleh dijadikan modal politik untuk meyakinkan rakyat bahawa calon tersebut berwibawa. 

Malah, oleh kerana Azlan menjadi kaya melalui perniagaannya sebagai kontraktor (Kelas A), ramai yang tertanya-tanya projek apa atau tender apa yang telah melonjakkan Azlan sebagai orang kaya.  Bukan kita tidak tahu bahawa kontraktor merupakan sejenis perniagaan yang paling mudah terdedah kepada berbagai jenis ‘kotoran’.  

Azlan juga hanya berpendidikan SPM yang mana meletakkan beliau jauh di belakang dari calon BN.  
Berdasarkan semua maklumat ini, tidak hairanlah jika kita melihat gelombang di Kuala Besut semakin  hari semakin ‘biru’ warnanya.  Semoga keputusan PRK nanti turut memantulkan kebiruan laut di pantai Terengganu.