Monday, April 29, 2013

Kalimah Allah: Penyokong PAS Dalam Dilema

Pendirian PR dalam isu kalimah Allah S.W.T sudah jelas di mana gabungan longgar tiga parti pembangkang yang turut melibatkan PAS itu telah sebulat suara bersepakat menerima gesaan DAP supaya kalimah Allah S.W.T dibenarkan penggunaannya dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat pula dalam kenyataan susulannya turut menyokong penuh pendirian tersebut dengan mengumpamakannya sebagai peluang untuk orang Islam menyebarluaskan dakwah di kalangan orang Kristian.

Meskipun begitu, Majlis Syura Ulama PAS dalam mesyuaratnya telah mengambil pendirian bertentangan dengan PR, selari dengan sentimen semasa di kalangan umat Islam yang berterusan membantah cubaan DAP untuk menodai kesucian kalimah Allah S.W.T. Sehingga kini Majlis Syura kekal dengan keputusan mereka menolak pendirian Majlis Pimpinan Tertinggi PR dan ia diperkukuhkan lagi dengan kenyataan terbaru Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din yang menegaskan kesucian kalimah Allah S.W.T tetap akan dipertahankan.

"Main pillar (tunggak utama) itu kita tak boleh ansur. Contoh tidak bertolak ansur kalimah Allah. Saya bertegas dan akan pertahankan ia tidak boleh dibenarkan untuk diguna pakai untuk diterjemahkan dalam bahasa lain," demikian penegasan oleh Dr Haron Din. Dr Haron Din mungkin benar-benar bersungguh dalam hal ini, tapi realitinya sehingga sekarang PAS gagal mempengaruhi PR untuk mengubah pendiriannya dalam isu kalimah Allah S.W.T. Selagi PR kekal dengan keputusannya, sama seperti PAS meredhakan kesucian kalimah Allah S.W.T dinodai dan disamakan dengan Jesus atau Lord, Tuhan orang Kristian.

Ini juga bermaksud, PAS kekal berada dalam keadaan tersepit selagi PR kekal dengan pendiriannya. Keadaan ini menyebabkan penyokong PAS berada dalam dilema, mengundi PAS bermakna bersetuju dengan pendirian PR yang membenarkan kalimah Allah S.W.T disamatarafkan dengan konsep ketuhanan trinity Kristian. Menolak pendirian PR pula bermaksud menentang kerjasama PAS dalam PR. Suka atau tidak, andainya penyokong PAS masih mengundi mana-mana calon PR sama ada dari DAP, PKR mahu pun PAS, ia seperti satu pengiktirafan terhadap PR yang memperakui kesucian Allah S.W.T boleh dinodai demi kepentingan politik.

Dalam dilema yang serba rumit ini, penyelesaian yang tinggal untuk PAS ialah dengan segera membuat kenyataan rasmi menolak pendirian PR dalam isu kalimah Allah S.W.T, jika itu dapat dilakukan tidaklah lagi pening kepala penyokong bawahan. Tapi sanggupkah PAS menahan asakan dan serangan bertali arus dari DAP kelak seandainya PAS menarik balik persetujuan bersamanya dengan PR?

Mungkin dalam keadaan terdesak PAS akan melakukannya untuk menarik balik sokongan yang hilang, tapi ia sudah terlambat kerana tak mungkin orang Melayu Islam sanggup mempertaruhkan lagi kepercayaan kepada PAS yang sudah terbukti gagal mempertahankan kesucian kalimah Allah S.W.T.

Monday, April 22, 2013

Pengundi Perlu Pilih Parti Mampu Tubuh Kerajaan Yang Kuat, Bawa Kejayaan – Najib

SHAH ALAM, 22 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengundi perlu memilih parti politik yang mampu menubuhkan kerajaan yang kuat, dan yang mampu membawa kejayaan kepada negara.

Perdana Menteri berkata untuk itu, rakyat harus kembali kepada objektif utama pilihan raya umum yang bertujuan untuk menubuhkan kerajaan yang kuat.

“Kalau kita ikut perasaan, kita tumpu pada calon individu, maka kita sudah kalih daripada tujuan utama pilihan raya diadakan iaitu tidak lain tidak bukan adalah berkenaan soal masa depan negara dan anak-anak kita yang terlalu ternilai.

“Ia tidak boleh terpesong pada hakikat bahawa kita perlu sebuah kerajaan di peringkat pusat dan negeri yang kuat dan berwibawa untuk menjayakan segala dasar negara, wawasan dan dasar transformasi nasional termasuk Aku Janji kita,” katanya di sini selepas turun padang ke beberapa kawasan Parlimen Selangor sejak pagi.

Najib yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor sebelum itu melawat kawasan Parlimen Selayang, Gombak dan Shah Alam manakala malam ini kawasan Parlimen Subang.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata apa yang penting adalah untuk parti menggerakkan jentera pilihan raya dan mendapatkan kemenangan pada pilihan raya umum ke-13 ini, dan soal calon tidak lagi sepatutnya berbangkit kerana keputusan sudah dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

“Kita sudah bagi panduan maka jentera harus fokus dan bekerja penuh semangat dan tenaga, saya yakin dan percaya berdasarkan kepada suasana serta sentiment yang semakin hari semakin yakin kepada BN.

“Mereka (penduduk Selangor kini) kurang yakin malah kecewa dengan pakatan rakyat di Selangor, sudah ada keinginan untuk mereka kembali kepada BN,” katanya.

Mengenai pentadbiran di negeri Selangor, beliau berkata kerajaan pusat dipimpin oleh BN dan negeri dipimpin pakatan pembangkang tidak mewujudkan satu keadaan yang membolehkan kelicinan pentadbiran.

“Banyak kuasa kerajaan negeri yang menyentuh kepentingan kerajaan pusat, ini termasuk soal air dan kelulusan projek-projek pembangunan yang sah, jadi perlu penyelarasan di antara pusat dan negeri,” katanya.

Mengulas mengenai lawatannya ke Selangor hari ini, Perdana Menteri berkata secara keseluruhannya suasana di kawasan tersebut sama ada di peringkat jentera pilihan raya parti mahupun sambutan pengundi, adalah baik.

Mengenai tindakan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyertai Pas hari ini, Najib berkata ia bukan satu isu kerana sudah dijangkakan.

Ketika ditanya mengenai ada calon Bebas yang didakwa akan menjaja nama BN ketika berkempen, Pengerusi BN itu berkata apa yang penting sekali adalah parti dan bukannya individu atau calon.

“Kita tekankan yang penting sekali adalah parti, pada kesudahannya pengalaman menunjukkan bahawa individu tidak kuat, nama-nama terkenal bertanding Bebas, mereka tidak dapat kejayaan,” katanya.

Kebenaran Terserlah, Rakyat Tolak Provokasi dan Manipulasi Pembangkang

KUALA LUMPUR, 22 April – Tindakan pakatan pembangkang yang gemar bermain dengan sandiwara politik bagi meraih undi rakyat terserlah juga apabila ramai anggotanya meninggalkan parti terbabit dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik tempatan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata dengan perkembangan semasa yang banyak memihak kepada BN lantaran imej transformasi yang dibawa oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selain tindakan negatif dalam kepimpinan pakatan pembangkang.

“Rakyat bukan bodoh untuk melakukan penilaian terhadap pelbagai perkara yang berlaku di sekeliling mereka malah dengan apa yang berlaku di kalangan kepimpinan pakatan pembangkang menjadikan masyarakat semakin muak dan menolak mereka khususnya dalam berdepan PRU ke-13 ini,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, dengan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam pakatan pembangkang sama ada PKR, Pas dan DAP yang antaranya dalam soal pemilihan calon kerana lebih mengutamakan kroni selain ketidakadilan terhadap anggotanya sendiri.

“Anggota parti melahirkan rasa tidak puas hati dengan meninggalkan pemimpin dan perjuangan yang selama ini mereka dukung lantaran sedar bahawa apa yang mereka lakukan selama ini adalah sia-sia belaka.

“Jika selama ini masyarakat tertipu dengan pelbagai manipulasi dan provokasi pakatan pembangkang terhadap BN maka dengan terserlahnya pelbagai kebenaran maka sokongan terhadap pembangkang semakin pudar.”

Tegas beliau yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), jika sebelum ini kepimpinan dalam pakatan pembangkang seringkali menuding jari kepada pihak lain sebagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimanipulasi dan dituduh tidak telus, BN dianggap negatif dan kemudiannya keputusan pendaftar pertubuhan (ROS) juga duputar belit.

“Berkaitan dengan keputusan ROS berikutan pemilihan Jawatan Kuasa Pusat (CEC) DAP yang dianggap tidak telus maka orang lain juga dipersalahkan sedangkan terang-terangan bahawa ia tidak berkait dengan mana-mana pihak dan kemudiannya pemimpinnya memutarbelitkan keputusan berkaitan penggunaan logo sedangkan ROS tidak menyebut berkaitannya.

“Secara tidak langsung ia membuktikan bahawa terdapat pemimpin pembangkang yang sengaja cuba menimbulkan isu lain bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap kesalahan yang sememengnya dibuat oleh mereka sendiri sedangkan rakyat tidak bodoh untuk menilai,” tegasnya lagi.

Berkaitan pelbagai kepincangan dalam pakatan pembangkang, lebih 100 ahli DAP yang diketuai Timbalan Ketua DAP Cawangan Changkat Keruing, G. Haridas telah mengisytiharkan keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Turut sama berbuat demikian, seramai 68 ahli DAP kawasan Tanjung Bungah mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN setelah mendapati DAP gagal menunaikan janji untuk membantu penduduk di kawasan tersebut.

Tidak sampai 24 jam selepas proses penamaan calon yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri calon mereka, krisis dalaman pembangkang terus meruncing apabila Ketua PKR Cabang Lumut, M.P Shamugum bersama 13 ketua ranting parti di Parlimen itu mengisytiharkan meninggalkan PKR dan mengumumkan pembubaran PKR Cabang Lumut serta penutupan semua bilik gerakan jentera parti itu di 36 Pusat Daerah Mengundi (PDM) berkuatkuasa serta merta.

Dalam masa yang sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Tan Hock Leong mengumumkan keluar daripada PKR kerana kecewa dengan tindakan tidak adil PKR yang hanya meletakkan calon kroni semata-mata.

Dilaporkan juga, kira-kira 300 ahli dan penyokong PKR kawasan Parlimen Padang Serai di sini meninggalkan parti itu kerana kecewa dengan kepimpinan PKR yang didapati tidak memberi sebarang faedah kepada penduduk.

Bagi Pas pula, Kira-kira 200 penyokong tegar Pas di Kampung Pauh Dua dalam kawasan Parlimen Kubang Kerian turut bertindak keluar parti dan menyertai Parti Progresif Rakyat (PPP) kerana kecewa dengan perjuangan Pas yang didakwa tidak konsisten dalam perjuangan sementara di Kampung Tok Dor dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri Jabi, Setiu seramai 35 anggota dan penyokong PAS bertindak keluar parti dan menyertai UMNO.