Wednesday, January 16, 2013

Bawani: Pendidikan Percuma Atau Publisiti Murahan?

Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, semestinya tidak menjangkakan bahawa jemputan yang diterima beliau untuk menjadi moderator bagi satu forum di UUM beberapa hari lalu akan mengubah hidup beliau. Sharifah Zohra bukanlah salah seorang daripada panel bagi forum tersebut (Forum Wanita dan Politik), jadi, bukanlah menjadi tanggungjawab beliau untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan para peserta.

Namun, seorang pelajar, Bawani, bertindak mengajukan soalan kepada Sharifah pada saat-saat akhir forum dan enggan 'berhenti bercakap'. Tidak salah bagi sesiapa untuk mengesyaki bahawa walaupun Syarifah tidak menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku, Bawani mungkin telah membuat rancangan awal terhadap insiden tersebut.

Masa yang dipilih oleh Bawani untuk mengajukan soalan adalah satu perkara. Namun, satu lagi perkara yang tidak boleh diterima adalah nada dan kelakuan Bawani terhadap Syarifah. Budaya timur tidak boleh menerima kelakuan buruk seperti itu, terutamanya kelakuan Bawani kepada seorang yang lebih berusia darinya.

Namun, Bawani hanyalah seorang pelajar, seorang wanita yang masih lagi muda yang masih lagi mentah, penuh dengan perkara yang mahu dilepaskan. dan sama seperti mana-mana golongan muda terpelajar, Bawani percaya bahawa dia adalah lebih arif berbanding orang lain, termasuklah, terutamanya, kerajaan dan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, dan dalam kes ini, Sharifah. Syarifah bagaimanapun, gagal untuk mengawal provokasi yang dibuat oleh Bawani.

Penulis percaya bahawa Syarifah mungkin mampu mengawal pelajar tersebut jika beliau lebih bersedia. Sebagai moderator, Syarifah tidak bertanggungjawab untuk menjawab soalan, beliau bertanggungjawab terhadap masa, dan ketika itu, masa bagi forum tersebut telah tamat. Kami faham bahawa bagi Sharifah, tindakan pelajar tersebut dalam melakukan provokasi adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Atas sebab itulah beliau memberikan respon-respon yang tidak relevan.

Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata. Kita dapat lihat bagaimana Youtube mampu mengubah kehidupan seseorang; dalam masa sekelip mata, Syarifah dianggap sebagai seorang agen kerajaan yang tidak sensitif dan bodoh sementara Bawani dianggap sebagai seorang hero. Tiba-tiba, insiden tersebut bertukar menjadi isu politik, lengkap dengan elemen-elemen perkauman, pegawai kerajaan yang tidak bertauliah dan juga mangsa yang berani. Soalan yang diajukan oleh Bawani bukanlah berbentuk 'killer question'.

Penulis pasti Sharifah pasti mampu menjawab persoalan tersebut jika beliau berada dalam situasi yang berlainan. Dengan segala fakta yang diberkan oleh bawani terhadap pendidikan percuma di beberapa negara, mungkin Bawani rasa bahawa dia adalah lebih besar daripada mana-mana kabinet kerajaan. Namun, seperti apa yang penulis katakan, Bawani adalah seorang anak muda yang belum matang dan naif.

Memerintah sebuah negara dan memberikan pendidikan percuma bukanlah semudah ibu bapanya memberikan wang belanja kepada dia dan adik-adiknya. Nampaknya, Bawani sebenarnya tidak begitu arif tentang isu ini. Bawani membandingkan Malaysia dengan negara-negara seperti Cuba, Argentina, dan Brazil berkenaan dengan pendidikan percuma. Mungkin dia tidak tahu bahawa untuk mendapatkan sistem pendidikan percuma, kos untuk perkara-perkara lain akan meningkat.

Untuk memberikan pendidikan percuma, Argentina dan Cuba kekal sebagai negara miskin. Mereka tidak mampu menggunakan sebarang dana untuk memajukan sektor-sektor lain. Selain itu, pendidikan percuma juga tidak memberikan sebarang jaminan bahawa negara tidak akan dibelenggu masalah lain.

Argentina sebagai contoh, akibat daripada kemiskinan, masalah rasuah adalah terlalu tinggi dan kemudiannya membawa kepada ketidakseimbangan dalam peluang pendidikan yang mana nisbah pelajar dari keluarga kaya dan golongan pelajar miskin untuk mendapat peluang untuk mendapatkan pendidikan tertiari adalan 9:1. Dan hanya 10% pelajar-pelajar di Sri Lanka berpeluang untuk mendapatkan pendidikan tinggi, selebihnya hanya mampu mendapatkan pendidikan menengah.

Brazil juga memberikan pendidikan percuma, namun, kadar cukai di negara tersebut adalah tinggi. Hampir kesemua negara-negara maju tidak memberikan pendidikan percuma. Denmark sebagai contoh, walaupun memberikan pendidikan percuma, mereka terpaksa mengenakan kadar cukai yang amat tinggi kepada rakyat.

Turki dan Malaysia pula adalah sama, pendidikan hanyalah percuma hingga ke sekolah menengah. Cukai pendapatan di Finland mencecah kadar 50% berbanding dengan Malaysia pada kadar 26% dan rakyat Malaysia masih mampu menikmati subsidi bagi pendidikan tinggi dimana pelajar hanya perlu membayar 5% daripada kos keseluruhan pembelajaran.

Jadi, Bawani, penulis mahu mencadangkan Bawani supaya membuat satu thesis tentang perkara ini dan berikan idea-idea bernas dalam memberikan pendidikan percuma tanpa perlu menaikkan kadar cukai dan memastikan kadar inflasi stabil. Jika Bawani berjaya, kami akan pastikan Bawani mendapat tempat di Kabinet. Dan hanya jika Bawani berjaya berbuat demikian, barulah Bawani layak digelar sebagai seorang hero.

Tuesday, January 15, 2013

Majlis Syura: Isu Kalimah Allah Selesai, #DosaSebuahAmanat Bagaimana?

Isu Kalimah Allah akhirnya selesai dengan semua pihak sependapat iaitu, ia tidak boleh sama sekali digunakan dalam kitab dan risalah agama lain. Walaupun sebelum ini PAS mengambil pendirian bertentangan, tetapi kembali rasional setelah Majlis Syura bersidang dan memutuskan bahawa Kalimah Allah adalah ekslusif dan tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan agama lain.

Seperti biasa, PAS menegaskan konon mereka sentiasa konsisten dan tidak pernah membuat U-turn walaupun kenyataan-kenyataan rasmi pemimpin PAS beberapa tahun kebelakangan sejak isu ini mula timbul, membuktikan pendirian flip-flop PAS. Alasan kononnya PAS hanya bersetuju sebelum ini dengan syarat Kalimah tersebut tidak disalahguna, adalah alasan dangkal untuk menutup malu.

Tidak mungkin selama ini PAS menyangka yang puak Kristian ingin menggunakan Kalimah Allah untuk merujuk kepada Allah SWT yang Maha Esa, pencipta sekalian alam. Tidak mungkin PAS menyangka yang Kristian percaya pada Allah SWT dan tidak akan menyalahgunakan nama ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan Kristian. Apa yang berlaku menunjukkan kegagalan PAS menangani isu agama di mana ketika PAS menyokong penggunaan Kalimah tersebut oleh agama lain, pemimpin PAS tidak pula terlebih dahulu merujuk kepada Majlis Syura tetapi hanya terus membuat kenyataan mengikut sesedap rasa.

Keputusan Majlis Syura PAS menunjukkan yang masih ada harapan bagi PAS untuk kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya, PAS telah tersasar jauh kerana memberi kuasa mutlak kepada pemimpin tertinggi membuat apa jua keputusan dan kenyataan dalam isu agama. Bagaikan seorang Pope Kristian, pemimpin tertinggi PAS diangkat mengatasi manusia biasa, Majlis Syura, Jawatankuasa Fatwa dan mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, mengatasi Sheikhul Azhar juga.

Tindakan inilah yang menjadikan mereka riak dan takbur serta tersesat jauh dalam mempertahankan ego masing-masing. Ego pemimpin-pemimpin PAS telah banyak merosakkan ummah selama ini. Oleh itu, walaupun isu Kalimah Allah selesai tetapi Majlis Syura PAS tidak wajar untuk merasa lega. Ini kerana masih terdapat isu lain yang sama berat dengannya yang masih belum selesai hanya kerana ego pemimpin PAS yang terlalu tinggi. Isunya tidak lain tidak bukan adalah isu Amanat Haji Hadi.

Hari ini, nampaknya Hadi cuba membayangkan seolah-olah beliau tidak pernah menuduh UMNO kafir. Tetapi, dalam Muktamar PAS yang baru lalu, pemimpin PAS terus bermain kata-kata dan memberi gambaran seolah-olah UMNO itu murtad yakni kafir. Walaupun tidak secara langsung, tetapi ia membawa kepada pemahaman yang sama. Walaupun PAS cuba mengelak dengan alasan isu ini telah basi dan terkubur bersama pejuang Memali di tahun 1980-an, namun itu hanyalah cakap-cakap Hadi untuk memujuk perasaan bersalah di dalam dirinya. Tidak apa jika isu ini hanya melibatkan Hadi seorang.

Malangnya, ia tidak semudah itu, kerana ia melibatkan begitu ramai umat Islam dari beberapa generasi selama lebih 2 dekad. Sehingga ke hari ini, masih ada yang enggan bersolat berimamkan orang UMNO. Jika melihat dari segi positif, tidak apalah kerana mereka mungkin masih punya peluang menyedari kesilapan dan bertaubat sebelum mati. Tetapi, bagaimana yang telah meninggal dunia dalam keadaan mengkafirkan atau dikafirkan ibu bapa sendiri?

Bagaimana yang telah meninggal dunia dalam keadaan tidak dimandikan konon ‘syahid’ sebab menentang kerajaan Islam UMNO yang hakikatnya tidak pernah menentang Islam pun? Jika Hadi berkata beliau tidak pernah mengkafirkan UMNO, kenapakah tragedi ini semua terjadi? Salah siapa? Apakah salah mereka sendiri kerana tersalah faham amanatnya?

Memandangkan Hadi enggan bertanggungjawab, maka Majlis Syura PAS wajar memikul tanggungjawab ini bagi menghapuskan kekeliruan dan mengembalikan pemahaman penyokong mereka yang terbabit, ke landasan yang betul. Tiada siapa lagi yang dapat menghentikan kegilaan mengkafirkan sesama Islam ini selain Majlis Syura PAS kerana jelas Hadi tidak punya kekuatan yang cukup untuk mengorbankan egonya. Ulama UMNO atau mana-mana Ulama luar tidak mampu membantu kerana suara mereka tidak laku dalam komuniti PAS.

Hanya Majlis Syura sahaja harapan kita untuk meletakkan noktah kepada kegilaan yang ditimbulkan oleh Amanat Haji Hadi. Masalah mereka yang meninggal dunia tanpa dimandikan atau meninggal dalam keadaan dikafirkan sanak saudara dan keluarga sendiri pula, bolehlah diuruskan selepas Majlis Syura membuat keputusan. Apakah Majlis Syura juga tidak punya cukup kekuatan untuk bersemuka dengan ego Hadi? Apakah air muka Hadi lebih penting dari ummah dan akidah? Apakah politik lebih penting dari agama?

Najib Akan Letak Jawatan - Malaysia Chronicle

Salah satu daripada artikel yang disiarkan oleh Malaysia Chronicle (MC) pada 7 Januari 2013 bertajuk: ‘New PM for Malaysia – Najib to be forced to step down on health reasons’ (PM Baru Untuk Malaysia - Najib Terpaksa Letak Jawatan Kerana Masalah Kesihatan), semestinya menggembirakan sesetengah pihak.

Menurut artikel tersebut, Perdana Menteri telah jatuh sakit dan tidak keluar untuk sebarang acara selama dua minggu, kemungkinan disebabkan oleh tekanan yang disebabkan oleh kemunculan Deepak Jaikishan, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya. MC juga melaporkan bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir kini sedang berusaha untuk menaikkan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk mengambil alih tugas Perdana Menteri.

Khabar angin yang disebarkan oleh MC itu juga merupakan sambungan dari kisah yang dikeluarkan oleh media tersebut berkenaan dengan insiden dimana PM diserang angin ahmar. Bagaimanapun, pada 8 Januari yang lalu, Perdana Menteri menjalankan tugas beliau seperti biasa dimana beliau telah melancarkan Bursa Dagangan dan Sukuk. Beliau juga mampu 'menyembunyikan penyakit' beliau sepanjang acara tersebut.

PM juga telah menghadiri himpunan bulanan di Jabatan Perdana Menteri pada hari berikutnya tanpa menunjukkan sebarang tanda bahawa beliau sedang sakit. Dan hari ini, kita dapat lihat PM menghadiri Persidangan Transformasi Perundangan tanpa sebarang masalah. Jadi, untuk menjustifikasikan artikel tersebut, terdapat beberapa kemungkinan yang boleh diambil. Samada PM dengan ajaibnya sembuh dari penyakit yang amat serius seperti yang didakwa oleh MC, atau, beliau tidak sakit langsung.

Dalam erti lain, dakwaan yang dibuat oleh MC hanyalah rekaan semata-mata, atau, media yang mempunyai kaitan dengan Singapura dan juga pihak pembangkang, Tian Chua terutamanya, mempunyai agenda mereka tersendiri. Menimbulkan huru-hara kelihatan seperti 'pelan terbesar' bagi puak pembangkang, dan ketua mereka.

Walaupun jarang didengar, misi-misi seperti menghasut rakyat supaya membenci kerajaan, menanam semangat perkauman dan membuat rakyat percaya bahawa mereka ditindas oleh kerajaan walaupun sebenarnya mereka hidup serba mewah telah lama dijalankan, seawal zaman 60-an sepertimana yang didedahkan oleh bekas pegawai CIA seperti Philip Agee, Michael Scheuer dan ramai lagi.

Objektif bagi misi-misi ini adalah untuk mengawal sumber-sumber utama negara yang ingin ditakluk bagi menguasai ekonomi, dan meletakkan pemimpin boneka mereka sebagai ketua negara. Salah satu daripada contoh kepada 'eksperimen' ini adalah Bosnia. Kita dapat lihat bagaimana Bosnia musnah akibat daripada pergaduhan antara agama, walaupun pada mulanya, negara tersebut didiami oleh rakyat yang harmoni. Bagi mereka, pihak pembangkang adalah alat yang terbaik bagi mereka untuk menjalankan misi-misi menghancurkan sesebuah negara.

Dengan menggunakan media sebagai medium untuk menyampaikan ideologi mereka, segala kuasa berada dalam genggaman mereka. Dan perkara ini, dapat dilihat melalui artikel yang disiarkan oleh MC, dan juga beberapa media lain selain daripada badan-badan yang bersekutu dengan mereka. Apa yang cuba digambarkan oleh MC adalah untuk menunjukkan bahawa Tun Mahathir sebagai seorang 'puppet master', yang BN takut akan 'Kebangkitan Rakyat' yang dikuasai Anwar melalui Pakatan Rakyat.

Jadi, jika MC masih mahu mempertahankan diri mereka daripada dakwaan yang mengatakan bahawa mereka adalah salah satu daripada alat yang digunakan sebagai misi pertukaran rejim, kita patut memberikan mereka penghargaan kerana menjadi satu-satunya media yang berjaya mencari isu yang bukannya isu.

Garispanduan Hiburan di tempat Awam: PAS Kedah VS DAP Pusingan Ke-3

Rakyat Malaysia sudah menerima perbalahan antara PAS dengan DAP sebagai satu ‘cara hidup’ iaitu akan tetap berlarutan selama-lamanya. Satu ketika PAS akan mengalah, tetapi satu ketika lain akan membuat U-turn, tetapi tidak mustahil akan berbalah semula atas isu yang sama. Semua ini bergantung kepada perkembangan politik semasa. Pendek kata, perkahwinan PAS dengan DAP sentiasa dihiasi dengan dugaan dan cabaran tetapi akhirnya, PAS sebagai isteri tetap akan tunduk juga kepada kehendak suami yang chauvinis.

Dalam perbalahan mengenai isu dalam negeri-negeri jajahan PAS pula, PAS negeri seringkali terpaksa berhadapan dengan DAP Pusat secara bersendirian kerana PAS Pusat enggan menawarkan sokongan kepada PAS negeri, bagi mengelakkan masalah besar dalam perkahwinan mereka. Dan inilah yang berlaku terhadap YAB Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah beberapa kali.

Sebelum ini, beliau telah terpaksa bertekak dengan DAP kerana isu melarang gambar wanita tidak bertudung dipaparkan di papan tanda negeri itu, kemudiannya isu menutup pusat hiburan di bulan Ramadhan dan kini isu garispanduan bagi aktiviti hiburan di tempat awam di Kedah. Seperti juga isu-isu lain, PAS Pusat nampaknya langsung tidak cuba untuk membela Azizan dalam isu terkini ini. Malah, kita tidak hairan jika PAS Pusat mengarahkan agar Azizan akur sahaja dengan kehendak DAP. Ini kerana mengenali Azizan, beliau tidak akan semudah itu tunduk kepada DAP jika tidak kerana arahan dari kepimpinan PAS sendiri.

Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching menempelak garispanduan yang dikenakan Azizan sebagai tidak masuk akal, tidak boleh diterima dan tidak bijak. Sementara exco Kedah, Tan Chow Kang dari PKR pula bertanya sinis sama ada Azizan inginkan kaum Cina di Kedah mendengar lagu-lagu komunis sahaja. Garispanduan itu, yang dilaporkan oleh China Press and Nanyang Siang Pau mengharamkan wanita dewasa dari menyertai persembahan hiburan untuk orang awam.

Selain itu, garispanduan tersebut juga mengharamkan persembahan muzik langsung, dan hanya boleh diadakan dengan menggunakan rakaman awal (minus one). Persembahan pula hanya dibenarkan untuk lagu-lagu berunsur agama dengan semua yang terlibat berpakaian sopan. Kelab Penyokong PAS juga tidak ketinggalan mengkritik Azizan dalam hal ini dan menganggap ia sebagai satu tindakan yang tidak peka dan tidak toleran terhadap agama dan budaya lain, serta ‘pentingkan diri sendiri’. Apa yang menyakitkan lagi hati DAP ialah garispanduan ini dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina.

Dengan garispanduan ini, tentunya perayaan Tahun Baru Cina di Kedah akan menjadi muram dan hambar. Tindakan kerajaan negeri Kedah ini memperlihatkan kekeliruan, kalaupun tidak hipokrasi yang kronik di dalam PAS. Bukan kita tidak tahu bahawa dalam isu hiburan, PAS Kedah hanya berada beberapa langkah saja di belakang Selangor dalam perlumbaan membuka pusat-pusat hiburan baru. Pusat Karaoke tumbuh tanpa kawalan, bagai cendawan sejak PAS memerintah Kedah, sehinggakan ada yang bersebelahan sahaja dengan surau atau masjid.

Rungutan mengenai moral anak-anak muda Kedah yang semakin buruk bagai sudah menjadi satu fenomena di kalangan ‘orang-orang lama’ Kedah, terutama di bandar Alor Setar. Seperti yang kita sedia maklum, pusat-pusat hiburan yang menawarkan hiburan secara tertutup beroperasi secara berterusan sementara hiburan berbentuk persembahan di tempat awam dan di atas pentas pula, adalah bersifat sekali-sekala. Berdasarkan faktor inilah maka garispanduan yang diperkenalkan oleh kerajaan Kedah itu dilihat sebagai usaha untuk menunjuk-nunjuk alim dan bukannya usaha ikhlas untuk memelihara nilai-nilai moral rakyat Kedah.

Tidak mustahil, usaha menunjuk-nunjuk alim ini adalah respon kepada hujan kritikan yang tidak henti-henti menimpa Azizan kerana gagal melaksanakan pentadbiran Islam sebenar mengikut kacamata PAS. Azizan tidak ada pilihan selain terpaksa menghadapi seluruh parti DAP dan masyarakat Cina Kedah sekali lagi, secara berseorangan. Jika beliau boleh mengelak dari isu balak dengan hanya bersikap angkuh atau mengelak dari isu-isu yang timbul di dalam Laporan Audit dengan mengambil sikap tak tahu, nampaknya, beliau tidak mungkin dapat mengelak isu ini dengan hanya berdiam diri.

Ini kerana, apabila ia melibatkan kepentingan DAP secara langsung, maka PAS Pusat akan memastikan Azizan tidak senang duduk selagi tidak menanganinya dengan baik tanpa menyinggung DAP. Hakikatnya, sehingga kini, masyarakat Cina masih keliru mengenai siapa dan apakah PAS sebenarnya dan kekeliruan itu membuatkan mereka semakin ragu-ragu untuk memberi undi kepada DAP. Apakah benar PAS sudah terbuka? Atau PAS hanya menyembunyikan ektremismenya untuk sementara?

Apakah DAP mampu mengekang pemikiran jumud dan ekstrem PAS mengenai agama? Sampai bila DAP mampu mengawal PAS? Dan apakah jaminan yang PAS tidak akan bangkit dengan lebih bersemangat sehingga mengatasi kelicikan DAP jika PR menang PRU kali ini? Soalan yang sama juga mungkin perlu ditanya oleh Azizan kepada dirinya sendiri dan juga kepada kepimpinan PAS. Ketahuilah oleh PAS bahawa rakyat keseluruhan juga turut menantikan jawapannya.

Monday, January 14, 2013

Pembangkang Guna Talian Hayat Untuk Selamatkan Maruah HKR

HKR Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR #KL112) ataupun dikenali juga Himpunan Menyokong Gadaikan Kalimah Allah Kepada Kristian sudah pun selesai. Namun ibarat rumah sudah siap pahat masih berbunyi, para penyokong pakatan pembangkang pula masih sosek-sosek sesama sendiri. Keliru dan mengelirukan. Itu yang sedang berkecamuk dalam minda penyokong pakatan pembangkang berikutan pelbagai angka kehadiran dikeluarkan oleh pimpinan PR dan medianya.

Ada yang kata HKR #KL112 dibanjiri 100,000 orang, 160,000 malah ada juga yang kata nampak dengan mata kepala sendiri 300,000 orang berhimpun di Stadium Merdeka dan kawasan sekitarnya. Sama-sama sendiri pun berlaku percanggahan ketara, sudahlah angka sejuta gagal dicapai, angka kecil pun tiada satu pun yang tepat dan realistik dengan keluasan lokasi perhimpunan berlangsung. Mengikut kajian semasa melibatkan pengguna internet seperti blog, portal, twitter dan facebook pada 12 Januari 2012 yakni hari perhimpunan tersebut diadakan terdapat sejumlah 76,000 komen positif yang membicarakan HKR #KL112.

Bagaimanapun keesokan harinya, 13 Januari 2012 komen-komen positif turun mendadak kepada hanya 12,300 komen sahaja. Keghairahan para penyokong PR seperti terbantut. Kenapa dan mengapa? Berkemungkinan besar kerana tiada insiden besar seperti rempuhan oleh peserta himpunan ataupun tindakbalas keras dari pihak polis.

Mungkin ada kebenarannya kerana berdasarkan tinjauan di Stadium Merdeka, banyak kedengaran keluhan para penyokong PR yang merasakan acara kali ini agak membosankan dan tidak mencabar. Tambahan pula bila mana selepas perhimpunan berlangsung pelbagai angka kehadiran yang tidak munasabah dikeluarkan yang akhirnya memalukan PR sendiri. Semangat penyokong yang sudah sedia tergugat terus jatuh setangga demi setangga dan akhirnya merudum.

Mungkin menyedari populariti HKR #KL112 dilihat gagal menandingi Bersih 3.0, maka datanglah seorang bekas professor kangkung yang terlebih cerdik dengan talian hayat baru untuk menyelamatkan maruah HKR #KL112. Katanya perarakan yang memanjang 7 kilometer menghala ke Stadium Merdeka bersamaan di hadiri 700,000 orang, itu dakwanya selepas melihat beberapa keping gambar secara sepintas lalu. Seketika bekas professor itu bangga ada yang percaya congak kiranya yang logik kebenaran hanya orang gila sahaja yang mengiakannya.

Maka berkokok gembiralah pemimpin PR mendabik dada dengan gah dan bangganya. Padahal tiada pun perarakan memanjang 7 kilometer dipenuhi peserta HKR #KL112, sebaliknya yang wujud ialah jarak perjalanan perarakan yang jauhnya sekitar 7 kilometer dari KLCC ke Stadium Merdeka. Stadium Merdeka yang berkapasiti cuma 30,000 ditambah lagi kapasiti maksima atas padang 10,000 orang serta 5,000 orang lagi di luar stadium tiba-tiba boleh dibanjiri 700,000 orang?

Makin bengong dan kelu jadinya penyokong PR mahu mencerna angka fantasi yang tak masuk dek akal. Sia-sia penyokong PAS bawahan yang datang dari jauh mematuhi kerahan tenaga termasuklah ada yang tidur bermalam dalam van dan kereta ketika pemimpin peringkat cawangan, kawasan dan negeri lena selesa di bilik hotel, alih-alih kecelaruan pula yang terus menghantui kepala. Entah apa lagi usaha PR untuk menaikkan semangat penyokongnya tika ini, satu demi satu serba tak menjadi.

Lagi bertambah parah bila mana malam Ahad lepas, Majlis Syura Ulama PAS yang hanya sesekali saja bermesyuarat itu tiba-tiba pula mengubah keputusan parti apabila tidak bersetuju membenarkan kalimah Allah s.w.t digunakan dalam kitab Bible. Jatuh lagi semangat penyokong PR khususnya PAS, makin busuk nama HKR #KL112 jadinya.

ANWAR KECEWA 'KEBANGKITAN RAKYAT' JADI KEMENANGAN BN

Beberapa kesimpulan dapat dirumus daripada 'Himpunan Kebangkitan Rakyat' anjuran parti-parti pembangkang Sabtu lepas. Pertama, sekalung tahniah kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengotakan janji untuk mempastikan perhimpunan tersebut dijamin aman dan tidak berlaku sebarang rusuhan atau kekacauan seperti pengalaman lalu. Kemenangan besar dan hakiki pada hari Sabtu lalu bukan kepada pembangkang tetapi kepada Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional.

Kewujudan Akta Perhimpunan Aman 2012 telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan apabila rakyat mengetahui keselamatan terjamin serta kehidupan mereka tidak lagi terganggu bilamana pembangkang mahu mengadakan sebarang demonstrasi di masa depan. Ini adalah satu pendekatan inklusif oleh pihak polis yang patut diberi pujian dan penghargaan termasuk pihak pembangkang sendiri. Sikap keterbukaan Perdana Menteri yang berkata kerajaan pimpinannya sanggup dikritik dan ditegur adalah satu cerminan dasar yang mengutamankan hak dan kebajikan rakyat dan pada masa yang masa menghormati nilai-nilai sistem demokrasi negara ini.

Kedua, perhimpunan yang diuruskan dengan begitu baik oleh PDRM telah menggagalkan sebarang percubaan pihak pembangkang untuk menimbulkan huru hara di jalanan sebagaimana ang mereka telah lakukan pada perhimpunan Bersih 3.0. Sudah tentunya individu yang paling kecewa ialah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang mengharapkan penyokong-penyokong pembangkang dapat digerakkan sekali lagi untuk merusuh dan menimbulkan suasana tegang.

Strategi Anwar supaya berlaku kakacauan ialah supaya media antarabangsa yang membuat liputan berita akan menyebarluaskan gambaran bahawa kerajaan bertindak zalim, kuku besi, diktator dan sebagainya. Malangnya perkara ini tidak terjadi dan perhimpunan yang diadakan tidak ubah seperti mana-mana ceramah politik pembangkang. Kerajaan masih menunjukkan sikap prihatin dan berlembut walaupun pembangkang melanggaar beberapa syarat yang telah dipersetujui seperti menghadkan kehadiran peserta perhimpunan kepada 30,000 sahaja dan dilarang membawa bersama kanak-kanak.

Ketiga, ketiadaan Ketua Parlimen Dap, Lim Kit Siang menimbulkan tanda tanya mengapa beliau tidak hadir pada perhimpunan terbesar pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke 13. Pembangkang berkata dengan jumlah mereka yang berkerumun di Stadium Merdeka sudah cukup untuk menyampaikan mesej kepada Barisan Nasional bahawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Mungkin penyokong pembangkang penuh yakin berdasarkan semangat membuak-buak mereka pada hari itu namun Kit Siang nampaknya tidak begitu menaruh harapan yang menggunung. Keempat, melihat kepada kerenah penyokong pembangkang yang mewakili pelbagai ideologi dan politik serta landasan perjuangan yang berbeza-beza menjadi satu persoalan adakah pemimpin dan penyokong mempunyai kesatuan fikrah dan pandangan politik yang sama untuk ke Putrajaya?

Pas dengan baju serba hijau yang gemar melaungkan takbir, kumpulan Bersih dan ant-Lynas pula dengan baju kuning mereka, dan PKR dengan baju biru muda masing-masing bersorak dengan sloganan tersendiri seolah-olah ia hanyalah satu perhimpunan carca marba atau 'motley crue'. Malah terdapat kumpulan-kumpulan serpihan yang menumpang sekaki untuk bersama perhimpunan itu seperti golongan LBGT, anti-Islam, anti-Melayu, pluralis dan liberalis, cauvinis dan rasis, anti-Raja, pendakwah Kristian dan sebagainya.

Semuanya juga mempunyai impian Anwar aagar memenuhi agenda perjuangan kumpulan mereka jika berkuasa. Malah jika dibilang dengan jari jumlah yang hadir jauh daripada 1 juta yang disasarkan sebelum ini. Anggaran pihak polis hanya sekitar 40,000 orang yang hadir hanyalah empat peratus dan ini merupakan satu kegagalan besar pihak penganjur. Di mana 300,000 penyokong yang hendak dikerah oleh Pakatan Rakyat Selangor? Akhirnya yang datang adalah muka sama yang juga turut menyertai perhimpunan dan demonstrasi jalanan Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0, Perhimpunan Anti -Isa, dan Perhimpunan Air Selangor sebelum ini.

Kehadiran penyokong Cina juga amat hambar sekali dikatakan sekitar 8 peratus atau 3,000 sahaja manakala penyokong India kira-kira 2 peratus sahaja. Ini jelas membuktikan orang Melayu telah dipergunakan oleh Dap untuk menjayakan agenda politik mereka. Yang tidak faham politik adalah penyokong pembangkang dari kalangan orang Melayu dalam Pas dan PKR yang gagal mengerti bahawa mereka hanyalah keldai tunggangan Dap yang bersikap talam dua muka dan berpura-pura.

Mungkin ini menjadi penyebab mengapa Anwar hanya berucap setakat 20 minit sahaja kerana penyokong sudah meluat dan mula keluar stadium ketika beliau mula berceramah. Himpunan Shamsidar juga tidak menjadi kerana penyokong Pas dan Dap tidak mahu terbabit menyokong isu peribadi dan moral buruk Anwar. Hakikatnya 'kebangkitan' yang diharapkan menjelma menjadi kekecewaan yang amat menghampakan.

Sunday, January 13, 2013

Punca Cina Jauhkan Diri Dari HKR

Jumlah peserta yang jauh dari sasaran 1 juta sebenarnya, bukanlah satu-satunya faktor Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 dilihat sebagai gagal. Tetapi, sokongan yang merosot teruk dari kaum bukan Melayu juga adalah petunjuk penting bahawa Pakatan Rakyat semakin kehilangan sokongan rakyat. HKR menyaksikan hanya 8% dari 45,000 peserta adalah dari kaum Cina, manakala kaum India jauh lebih corot sambutannya iaitu hanya 2%. Jumlah kedua-dua kaum ini yang begitu sedikit telah memaksa kaum Melayu PAS dan PKR mengangkat lambang DAP bagi pihak sekutu mereka itu.

Antara koleksi gambar Melayu menjadi anjing kurap DAP di dalam HKR, kelihatan wanita bertudung dan lelaki berkopiah putih terkinja-kinja menjerit-jerit sambil memakai lambang DAP, serta sekumpulan anak muda mengarak banner bertulisan Cina. Kaum Cina dan India, terutamanya, jelas enggan terlibat lagi dalam kegilaan ini.

Lebih dari itu, kaum Cina DAP juga lebih suka terlibat dalam himpunan yang hanya mengumpul kaum mereka sahaja seperti Himpunan Hijau. Manakala kaum India pula telah serik ditipu oleh PR dalam isu-isu yang membabitkan kaum itu di Selangor dan Pulau Pinang serta enggan mempunyai apa-apa hubungan lagi dengan PR. Bagi memahami situasi ini, post-mortem himpunan BERSIH 3.0 yang lalu mungkin dapat memberi penjelasan yang lebih tepat tentang keengganan kaum Cina untuk turut bersama balaci mereka dari PAS dan PKR di dalam HKR.

Himpunan BERSIH 3.0 menyaksikan 30% penyertaan dari kaum Cina dan 7% dari kaum India. Dapatan dari post-mortem tersebut menunjukkan yang kaum Cina sudah tidak percaya lagi dengan Anwar dan Azmin setelah mereka didapati mengarahkan rempuhan sewaktu BERSIH 3.0 sehingga menyebabkan kekecohan.

Dan kaum Cina, terutamanya, enggan mengambil risiko terperangkap dalam kekecohan lagi. Selepas BERSIH 3.0, ramai dari kaum Cina mula menyedari bahawa tuntutan pilihanraya bersih yang dilaungkan hanyalah gimik semata-mata kerana yang sebenarnya, pembangkang hanya ingin membuat kecoh. Bermula dari situ juga ramai di antara mereka mula belajar mendengar penjelasan kerajaan dan mencari maklumat lebih mendalam mengenai sistem SPR serta jawapan-jawapan yang SPR dan kerajaan diberikan terhadap semua tuduhan BERSIH.

Bertitik tolak dari itu, lebih separuh dari mereka nampaknya sudah mula faham. Biarpun agak terlambat sedikit, tetapi sekurang-kurangnya mereka telah berusaha untuk mendapatkan maklumat sebenar. Dari situ juga, lebih separuh dari mereka ini mula menyedari bahawa selama ini mereka telah termakan hasutan pembangkang sehingga tidak mampu lagi menghadamkan maklumat secara rasional. Justeru, PR wajar menilai semula apa yang dilaporkan oleh media sebagai ‘berjaya’ mengenai HKR.

Ini kerana, sesungguhnya, tiada apa yang mereka berjaya capai selain berjaya menipu diri sendiri sahaja. Segala tuntutan yang konon dibuat di dalam HKR juga hanya mengundang ketawa bagi mereka yang arif mengenai politik Malaysia. Mana tidaknya, jika antara tuntutan yang dibuat termasuklah mendaulatkan bahasa kebangsaan serta menuntut pilihanraya bersih.

Sedangkan, apakah layak bagi PR untuk menuduh pilihanraya Malaysia sebagai tidak bersih jika pemilihan parti mereka sendiri juga sudah lintang pukang menipu secara terang-terangan? Dan apa pula ini, yang dibebelkan mengenai bahasa kebangsaan sedangkan DAP begitu beria-ia ingin menghapuskan daulat bahasa tersebut dengan mengangkat Mandarin sebagai lebih tinggi lagi kalaupun tidak sama tinggi melalui nama-nama jalan di Pulau Pinang dan kepala surat kerajaan Selangor.

Maka, nampak sangat bahawa senarai tuntutan HKR dibuat dengan cara ‘hentam sajalah’. Lagipun, jika HKR dikatakan berjaya, ia seharusnya bermakna bahawa segala isu tuntutan itu juga telah selesai dengan jayanya. Kini semua orang dapat melihat bahawa HKR tidak ada motif jelas, selain dari cuba membuat huru-hara di samping cuba menunjuk pada dunia kononnya rakyat menyebelahi pembangkang. Namun, dengan jumlah rakyat yang hadir begitu sedikit, iaitu kurang dari jumlah ahli UMNO yang berhimpun ketika Ulangtahun UMNO, maka tiada alasanlah lagi bagi PR untuk mempersoalkan keputusan PRU-13 nanti, sekiranya ia tidak menyebelahi mereka.