Wednesday, November 7, 2012

Nurul Izzah Buktikan PKR & PAS Semakin Liberal

Nurul Izzah, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai yang juga adalah anak perempuan kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim kelihatan semakin kepanasan apabila kenyataannya dalam forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab?" terus mengundang bantahan umat Islam.

Forum tersebut yang dianjurkan oleh Oriental Heart And Mind Study Institute (OHSMi), sebuah pergerakan Kristian dan diadakan di Gereja Full Gospel Tabernacle, USJ pada Sabtu lepas itu turut dihadiri oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Jika para pembaca melawat laman web OHSMi di http://www.ohmsi.net dan klik pada tab 'Contact Us', di bawahnya akan terpampang matlamat pergerakan tersebut yang menyebut;- "Our goal is to create frameworks for dialogue and engagement where followers of Jesus Christ and members of society become relevant and significant in the public space of national life".

Tampak jelas matlamat utama OHSMi adalah untuk mengetengahkan peranan penganut Kristian dan mengembangkan pengaruh mereka dalam ruang lingkup masyarakat negara ini. Namun disebalik itu semua apa pula motifnya kehadiran Nurul Izzah dan Mujahid di acara tersebut? Kedua-duanya bukannya pengikut Jesus Christ, dan diketahui umum lahir sebagai muslim.

Nak dikatakan kedua-dua pemimpin politik dari PKR dan PAS itu datang berdakwah kebenaran Islam dalam Gereja Full Gospel Tabernacle, realitinya tak pula begitu.

Sebaliknya, Nurul Izzah dalam jawapan kontroversinya kepada satu pertanyaan dari hadirin mengakui hak kebebasan agama tidak sepatutnya hanya terhad pada orang bukan Melayu.

Dengan kata lain, sepertinya secara sedar Nurul Izzah bersetuju bahawa orang Melayu Islam juga perlu diberi hak sama rata untuk bebas menganut agama lain sama seperti orang bukan Melayu.

Kesan sikap tidak cermat anak perempuan Anwar itu, besar impaknya pada umat Islam khususnya orang Melayu Islam sekiranya hak kebebasan beragama disalah tafsir, tak mustahil akan wujud lebih banyak kes seumpama kes murtad melibatkan seorang perempuan Melayu keturunan Jawa bernama Azlina Jelani ataupun juga dikenali sebagai Lina Joy.

Satu kebetulan, ringkasan pengenalan berkaitan forum tersebut seperti yang terpampang dalam laman web OHSMi juga seperti bersimpati dengan kegagalan permohonan Lina Joy untuk menukar agamanya kepada Kristian.

Penglibatan Nurul Izzah ke forum sedemikian tidaklah terlalu luar biasa memandangkan pendirian ayahnya sendiri yakni Anwar Ibrahim dalam kes Lina Joy agak condong untuk menyokong permohonan Lina Joy untuk bebas menukar identiti dan agamanya.

Namun, pembabitan pemimpin PAS seperti Mujahid Yusof, anak lelaki kepada bekas Mursyidul Am PAS yang pertama, Yusof Rawa membuktikan pendirian PAS dalam isu murtad sudah semakin longlai. PKR yang sekian lama berpegang pada prinsip liberal dan pluralisme, kini semakin liberal manakala PAS pula hari demi hari kian terpengaruh dengan dasar PKR. Demi kerana kemaruk mengejar kuasa PAS sepertinya tidak kisah untuk berubah menjadi liberal.

Undi dikejar, agama digadai.


Diktator: Hadi Sindir Nik Aziz & Anwar Ibrahim

Niat di hati sekadar nak buat gimik politik sambil menguji pengaruh, kemudian tak pasal-pasal ianya memalukan diri sendiri dan menjadi bahan lawak politik tanahair pula.

Akhirnya terpaksalah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengakui kenyataannya untuk bertanding di Parlimen Pekan hanyalah bertujuan untuk membuktikan dirinya bukan diktator.

Tahu pun Hadi takut untuk menyerahkan tengkuknya untuk disembelih oleh para pengundi di Parlimen Pekan. Lagipun dikalangan ramai pemimpin PAS sendiri pun tak yakin Hadi akan merealisasikan gimik lawaknya itu.

Kecuali, hanya Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat sahaja yang kelihatan seronok hingga senyum sampai ke telingga bila sahaja mendengar berita berkenaan ura-ura Presiden PAS itu mahu bertanding di Pekan, Pahang.

Seronoknya Nik Aziz bukan main lagi sehinggakan terus sahaja memberi lampu hijau kepada Hadi kerana tahu dengan demikian akan tamatlah riwayat politik Hadi dalam PAS dan hilanglah satu lagi perintis cadangan Kerajaan Perpaduan (UG).

Persoalan sekarang dalam keadaan ribut tak ada, angin sepoi-sepoi bahasa, mengapa agaknya perihal diktator pula yang Hadi bangkitkan? Tentu ada yang tersirat disebaliknya, tak begitu?

Kira-kira sebulan lalu, Nik Aziz yang juga adalah Menteri Besar Kelantan ada membuat kenyataan media bahawa dirinya akan terus berpaut pada kuasa dan jawatan sekalipun wujud desakan yang mahukan beliau berundur atas faktor kesihatan.

Manakala pada awal tahun ini pula, Mursyidul Am PAS itu pernah memberi bayangan keinginannya untuk terus bertanding dalam pilihanraya dan memegang jawatan politik sampai mati.

Alasannya, jawatan politik tak sama macam jawatan kakitangan awam yang ada tempoh persaraan. Hakikatnya, hanya diktator sahaja yang berasa amat sayang pada kuasa duniawi dan agak takut untuk melepaskan kuasa dalam genggaman.

Dan kebetulannya, Nik Aziz memenuhi ciri-ciri tersebut. Sementara itu, tidak berapa lama dulu, Anwar Ibrahim pernah mengumumkan bahawa namanya adalah satu-satunya calon yang sudah disahkan akan bertanding dalam PRU 13 nanti, sedangkan nama pemimpin PKR yang lain masih lagi dalam pertimbangan.

Mengikut fahaman Hadi Awang, hak penentuan siapa yang akan bertanding atau tidak terletak pada keputusan parti, jika keputusan mendahului parti bermakna seseorang itu adalah diktator.

Jelas sekali, Anwar memenuhi ciri diktator yang dimaksudkan itu kerana Anwar telah membuat keputusan sendiri tanpa merujuk keputusan bersama pemimpin lain.

Lagipun, sejak dulu hingga kini Anwar memang layak digelar diktator merangkap bapak segala nepostisme dan kronisme. Kini terlerailah sudah kenapa tiba-tiba sahaja Hadi menimbulkan isu diktator.

Rupanya ia satu sindiran sinis kepada rakan separti dan sepakatan. Tak sangka ya, dalam kalut menepis gelak tawa orang ramai dengan lawak politiknya sempat lagi melepas tembakan tepat ke dahi Nik Aziz dan Anwar.


Tuesday, November 6, 2012

Anwar Cabar Najib Bertanding Di Marang: Satu Publisiti Bodoh

Kalau ada pertandingan siapa paling banyak mencabar, ia pasti sudah dimenangi oleh Anwar Ibrahim.

Sikap Anwar yang suka mencabar sudah menjadi satu lawak basi bagi rakyat Malaysia. Asal ada peluang, beliau akan mencabar dan sasarannya pastilah Perdana Menteri kerana percaya itu saja tarafnya.

Namun begitu, beliau tidak pula ingin mencabar atau menyahut cabaran Nallakarupan, Umie Hafilda atau Ezam Md Nor yang menjadi kunci segala pertuduhan ke atasnya.

Antara cabaran Anwar terhadap Dato’ Seri Najib ialah debat isu PTPTN, debat bajet, debat isu Melayu, dan yang terbaru ialah beliau mencabar agar Dato’ Seri Najib bertanding di Marang iaitu kawasan Presiden PAS, Hadi Awang.

Persoalannya, apa ke jadahnya Dato’ Seri Najib hendak bertanding di Marang?

Sedangkan beliau adalah orang Pekan, dan telah lama berbakti di Pekan. Lainlah seperti pemimpin pembangkang yang ikut suka hati bertanding di mana saja kerana mereka percaya rakyat memilih pemimpin berdasarkan kekerapan ceramah dan kefasihan berpidato dan bukannya berdasarkan khidmat, bakti serta kebolehan bekerja.

Jika ini tidak benar, tidak mungkin Hadi Awang tiba-tiba membuat kenyataan ingin bertanding di Pekan.

Sekali lagi, apa ke jadahnya, Hadi nak bertanding di Pekan? Atas dasar apa beliau ingin bertanding di kawasan orang? Apakah jasa beliau kepada rakyat Pekan, sedangkan di Marang juga beliau tidak ada jasa?

Setelah sekian lama, kita semakin arif tentang taktik dan perangai Anwar iaitu beliau akan mencabar seseorang atas perkara yang tidak masuk akal, remeh atau tidak logik yang mana ia pasti akan ditolak.

Taktik ini tidak lain tidak bukan ialah untuk menunjuk hebat tanpa perlu berbuat apa-apa.

Selain itu, beliau juga akan menggunakan isu cabaran ini apabila sudah benar-benar ketandusan isu dan namanya hampir tenggelam. Mungkin beliau benar-benar berpegang kepada prinsip selebriti iaitu lebih baik menimbulkan publisiti murah daripada tiada publisiti langsung. Namun, dalam isu mencabar Dato’ Seri Najib bertanding di Marang ini, tindakan ini bukan lagi dilihat sebagai satu publisiti murah, tetapi bodoh.

Kelihatan seolah-olah Anwar bercakap hanya kerana ingin mengambil perhatian orang ramai walaupun sebenarnya tiada apa untuk dicakapkan. Strategi saling menukar tempat bertanding ini juga kononnya untuk memperlihatkan yang Hadi Awang bukan diktator.

Walhal, Hadi Awang bukan diktator sudah pun diketahui ramai.

Justeru, jika beliau merasa yang beliau perlu membuktikannya, tentulah pelik sekali.

Sedangkan semua orang tahu yang beliau hanyalah pak turut kepada DAP dan juga Anwar Ibrahim, iaitu diktator yang sebenar-benarnya.

Hadi juga pasti tahu yang beliau akan malu jika kalah di Marang, tetapi tidak akan malu jika kalah di Pekan.

Mungkinkah ini cara untuk mengelak dari malu atau cara halus pihak tertentu untuk menamatkan terus riwayat politik beliau? Apapun, Hadi Awang bukanlah watak signifikan di dalam Pakatan Rakyat.

Hadi tidak punya karisma dan kaliber sebagai pemimpin. Malah, dalam mesyuarat, Hadi hanya memberi ucapan pembukaan sebelum melepaskan tanggungjawab pengerusi kepada orang lain. Maka, kita tertanya-tanya, apakah permainan Anwar dalam isu ini?

Siapakah sebenarnya sasarannya? Najib atau Hadi? Atau sekadar melepaskan ‘gian’ untuk bercakap walaupun tiada isu?

Ataupun kerana terdesak ingin mengalih asakan media mengenai fahaman liberalisasinya yang berbangkit akibat keceluparan mulut anaknya, Nurul Izzah yang membenarkan umat Islam murtad?


Hadi Awang & Zaid Ibrahim Gila Publisiti Murahan

Kembang dada sekejap penyokong pakatan pembangkang khususnya para balaci PAS apabila Presiden PAS, Hadi Awang tiba-tiba sahaja mengumumkan akan bertanding menentang Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan, Pahang.

Hiruk piruklah para penyokong dan pemimpin pembangkang menyokong rancangan Hadi itu, tanpa diketahui itu hanyalah kisah gempak yang menjadi bahan lawak politik tanahair sahaja.

Satu perkara yang perlu difahami oleh segenap lapisan masyarakat negara ini ialah, rata-rata politikus pro pembangkang sememangnya gemar buat gempak dan gila publisiti murahan.

Ini realiti, sementelah lagi sebahagian besar pemimpin pembangkang kerja mereka hanyalah bercakap dan berceramah siang dan malam, namun bab kerja buat kebajikan untuk rakyat, satu haram pun tak diambil peduli. Jika betul Hadi serius mahu mencuba nasib di Pekan, tak perlulah menunggu arahan rasmi dari PAS Pusat.

Selaku Presiden parti, Hadi berhak untuk menentukan mana tempat yang sudah muktamad untuk ditandinginya. Nampak sangat temberangnya bermotifkan mencari publisiti murahan tapi akhirnya menjadi bahan lawak politik apabila berselindung pula konon menunggu arahan rasmi parti. Hakikatnya, Hadi takkan sama sekali menghulur tengkuknya untuk disembelih oleh pengundi di Parlimen Pekan.

Kawasan sendiri di Rhu Rendang serta Parlimen Marang pun tak terjaga, apatah lagi nak berkhidmat bagi penduduk Pekan.

Sementara itu, Zaid Ibrahim yang baru melepaskan jawatan sebagai Presiden KITA pun nampaknya mahu tumpang semangkuk memeriahkan pesta lawak politik tanahair apabila kisah Hadi mahu bertanding di Parlimen Pekan diperkatakan ramai.

Zaid pun teringin namanya disebut sebagai pak lawak politik. Bekas calon PKR di Hulu Selangor ini sejak dulu lagi agak gemar mencipta kontroversi sambil mencari publisiti murahan.

Beberapa tahun dulu, dialah yang atas kapasiti peribadinya menyaman hudud PAS. Tapi ditarik balik selepas Zaid menyertai PKR dan dosanya dengan PAS terus 'diampunkan', namun hingga kini beliau masih berpendapat hudud PAS bertentangan dengan perlembagaan.

Peliknya hingga kini juga, pemimpin PAS masih menyalahkan UMNO dalam isu saman itu. Ajaib betul perangai pemimpin pakatan pembangkang, mereka boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, kemudian akhir kalamnya UMNO juga yang dijadikan kambing hitam.

Fobia betul mereka dengan UMNO. Apapun, sama ada Hadi mahupun Zaid, kedua-duanya dialu-alukan untuk mengotakan hasrat mereka bertanding di Parlimen Pekan. Mereka ada hak, malah Dato' Seri Najib sendiri tidak menghalang sekiranya benar mereka berminat untuk mencuba nasib.

Tapi, soalnya sekarang berapa ramai yang percaya Hadi dan Zaid akan mengambil risiko untuk dimalukan oleh rakyat Pahang khususnya pengundi di Pekan?


Wibawa SPR Diragui Atau Diyakini, Mana Satu Pendirian PR?

Semasa Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan di majlis Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran PR di Seremban Sabtu lalu, beliau sekali lagi mempertikaikan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila menuduh daftar pemilih SPR dipenuhi dengan maklumat yang meragukan.

Menurutnya lagi, wujud cubaan menipu dalam daftar pemilih terbaru SPR itu apabila sehingga suku keempat tahun 2011 terdapat kira-kira 1 juta pengundi baru hanya dalam jangka masa setahun.

Padahal sehingga Jun 2012, mengikut rekod SPR masih terdapat sekitar 3 juta orang lagi yang belum mendaftarkan diri sebagai pengundi sekalipun ramai daripada mereka yang usianya sudah mencecah 21 tahun dan ramai juga yang sudah berusia melebihi 30 tahun.

Agaknya jika lebih 70% daripada baki yang belum mendaftar itu berjaya didaftarkan, barangkali Anwar akan keliling kampung mendakwa mereka semua itu adalah pengundi hantu la gamaknya.

Pendek kata, bagi Anwar peningkatan pengundi baru itu agak tidak munasabah dan tidak masuk dek akal. Keraguan Anwar itu pernah diutarakan oleh Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim apabila sebelum ini juga pernah mendakwa pertambahan lebih 400,000 pengundi baru di Selangor adalah pengundi hantu. Khalid bagaimanapun selepas itu mengakui lebih 80% pengundi baru tersebut adalah pengundi baru yang sah dan hanya baki sekitar 50,000 orang sahaja lagi yang masih diragui kerana gagal dijejaki.

Dek kerana gagal dijejaki maka ia menjadi keraguan bagi Kerajaan PKR Selangor, walhal sebahagian besar daripada mereka tak semestinya mendiami di alamat yang sama dengan alamat kad pengenalan tambah-tambah lagi bagi mereka yang tela berpindah rumah, bekerja atau belajar di luar negeri Selangor. Menariknya disebalik keraguan yang cuba ditimbulkan oleh Anwar terhadap kewibawaan dan kredibiliti SPR, hakikatnya hampir satu pertiga daripada pengundi baru yang didaftarkan itu adalah hasil kempen aggresif penolong-penolong pendaftar yang mewakili DAP, PKR dan PAS.

Di antara tiga parti pembangkang yang bersekedudukan dalam PR itu pula, DAP menduduki di carta pertama paling ramai mendaftarkan pengundi baru manakala PAS pula berada di kedudukan kedua paling aktif mendapatkan pengundi baru. Sesuatu yang agak menarik juga, sejak wakil parti politik dibenarkan mendaftarkan pengundi baru, sejak itulah banyak betul kes-kes pengundi baru yang meragukan dijadikan isu oleh PR. Kebetulannya, banyak kes pendaftaran yang meragukan ini termasuk alamat mengarut, nama pengundi sudah meninggal dunia, tarikh lahir atau nombor ic mengelirukan, pengundi baru bawah umur serta mendaftarkan pendatang asing dan macam-macam lagi banyak melibatkan wakil-wakil dari parti pembangkang.

Rupanya sendiri bikin isu, sendiri cipta keraguan kemudian sendiri juga yang buat kalut ribut semata-mata untuk menjatuhkan kewibawaan, imej baik dan kredibiliti SPR.

Dua bulan lepas Anwar pernah menceritakan impiannya untuk menjadi PM bakal tercapai sambil berangan untuk memaksa SPR mengumumkan kemenangan PR seawal jam 2.30 petang hari mengundi pada PRU 13 nanti.

"Jam 2.30 petang, saya akan hubungi Tan Sri SPR, (dan berkata) Tan Sri, saya dah dapat keputusan. Saya bagi peluang setengah jam, umum cara teratur dan telus.

Kalau tidak, kita ambil tindakan serta-merta kepada seluruh pihak SPR," kata Anwar semasa ceramah beliau di Ampang September lalu (lihat portal AntaraPos 10 September 2012).

Bila kita membaca kenyataan Anwar seperti yang disiarkan portal berita Antara Pos itu, ada dua tafsiran yang boleh kita fahami. Pertama, Anwar yakin dengan kemampuan dan kredibiliti SPR, dan yang kedua, Anwar sanggup lakukan apa sahaja demi untuk mencapai matlamat peribadinya, by hook or by crook. Dalam pada itu, tatkala Anwar kembali kepada tabiat lamanya mempertikaikan kredibiliti SPR sebagaimana dapat dilihat dalam ceramahnya di Seremban Sabtu lalu, di majlis yang juga Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu pula secara terbuka mengumumkan bahawa PR mampu menawan Negeri Sembilan pada PRU 13 nanti.

Kata Mat Sabu, "kita jangkakan hari mengundi, pada jam 7 malam kita sudah mengetahui bahawa Wisma Negeri akan ditawan PR." Makna kata, Mat Sabu menaruh keyakinan terhadap sistem pilihanraya yang SPR seliakan di masa yang sama soal keraguan pada daftar pemilih SPR pun tidak timbul. Kontradik betul.

Amat berbeza dengan pendirian Anwar yang meragui daftar pemilih SPR, walaupun 2 bulan sebelumnya yakin bakal menjadi PM melalui sistem pilihanraya yang sama. Mana satu pendirian sebenar PR? Yakin atau terus meragui kewibawaan dan kredibiliti SPR? Apapun, melihat pada pelbagai pendirian yang bercanggah diantara pimpinan PR ini, telah membuktikan sesuatu pada kita rakyat Malaysia.

Desas-desus dan khabar propaganda kononnya SPR tidak telus, tidak adil atau tiada kewibawaan menguruskan pilihanya yang saksama sebenarnya hanyalah polemik politik semata-mata. Lagipun, jika benar SPR tidak adil, adalah lebih baik semua negeri dan kerusi yang telah dimenangi oleh PR diadakan semula pilihanraya, tidak begitu? Alang-alang PR mempertikaikan kesaksamaan dan kewibawaan SPR, kenapa masih lagi mahu berpaut pada kuasa yang telah diperolehi dari sistem pilihanraya yang diragui.

Bukankah hipokrit namanya tu?


Monday, November 5, 2012

PAS Bersubahat Membenarkan Umat Islam Murtad

Agenda Plural dan fahaman liberal yang dibawa Anwar Ibrahim bukan lagi satu rahsia. Walaupun Anwar masih berdolak-dalih dan tidak berterus-terang mengenainya tetapi setiap ungkapan, ucapan dan tindakannya menyerlahkan lagi pendiriannya dalam soal ini. Anwar yang menyukai cara hidup bebas menemui keserasian dalam liberalisasi Yahudi Zionis yang berpegang kepada keterbukaan atau kebebasan tanpa batasan.

Bagi mengelirukan dan memperdaya masyarakat agar melihat perjuangan mereka sebagai sesuatu yang benar, suci dan murni maka gologan berfahaman liberal ini merujuk agenda mereka sebagai perjuangan membela ‘hak asasi manusia’. Bagi menepati keinginan mereka untuk hidup bebas dan terbuka, mereka berusaha memaksa manusia sejagat menerima bahawa yang buruk itu baik dan yang baik itu buruk. Antaranya, amalan homoseksual, lesbian, transeksual serta gejala pondan.

Begitu juga dengan seks bebas.

Kesemua amalan buruk ini terbukti membawa kepada berbagai penyakit serta kehancuran kepada struktur keluarga dan masyarakat, tetapi golongan ini berjuang untuk menobatkannya sebagai hak yang asas, atau semulajadi, bagi manusia, agar mereka boleh mengamalkannya tanpa dipandang serong atau dihukum. Bagi memastikan mereka berjaya memaksa manusia menerima idea ini, maka mereka wajib terlebih dahulu menggoyahkan pegangan agama manusia sejagat, terutamanya Islam.

Walaupun secara dasarnya semua agama melihat amalan buruk di atas sebagai dosa dan salah, tetapi jelas hanya Muslim yang bersungguh-sungguh memeranginya.

Justeru, terbukti bahawa pegangan agama Islam adalah jauh lebih kukuh dan teguh berbanding agama lain, sekali gus menjadi musuh utama pejuang fahaman liberal ini.

Kerana itu, Islam menjadi sasaran mereka tidak kira di mana, sejak dari dahulu dan selama-lamanya.

Untuk itu, agen, boneka, NGO, media dan barua atau balaci-balaci digunakan untuk mempromosi idea ini. Anwar, sebagai salah seorang pendokong fahaman ini, dilantik sebagai ‘barua’ dan dinamakan sebagai bakal pemimpin boneka bagi Malaysia. Ini bermakna, Anwar bertanggungjawab memastikan agenda ini tercapai di Malaysia dan mungkin juga di rantau ini.

Fahaman liberal Anwar diwarisi oleh Nurul Izzah, anaknya juga bukan satu rahsia lagi. Ini menjelaskan kenapa pemimpin PKR berada di belakang pejuang murtad seperti Ambiga Sreevenasen dalam isu IFC serta turut cuba menutup isu murtad di Selangor. Malah, kumpulan dan pemimpin yang memperjuangkan LGBT di seluruh dunia juga secara terbuka meluahkan sokongan kepada Anwar dalam kes liwatnya.

Sokongan itu juga adalah konsisten dengan kenyataan Anwar yang menganggap bahawa undang-undang homoseksual adalah lapuk. Berdasarkan hakikat ini, kita tidak hairan dengan kenyataan Nurul Izzah yang merasakan bahawa adalah tidak wajar untuk menghalang umat Islam yang ingin murtad. Kenyataan ‘tidak berlapik’ ini dikecam hebat oleh beberapa pihak termasuk aktivis PAS. Namun, kenyataan oleh aktivis PAS bagi menyangkal pandangan Nurul Izzah adalah tidak cukup.

Sebagai parti yang menggunakan Islam sebagai namanya, dan Ulama sebagai simbol kepimpinannya, maka teguran atau kecaman terhadap kenyataan Nurul Izzah dilihat terlalu bersifat politik dan tidak membawa kesan.

Ini kerana, Nurul Izzah bukanlah ketua pertubuhan mana-mana NGO yang tiada kena mengena dengan PAS. Bukan juga wanita pingitan yang mana kenyataannya tidak akan membawa kesan signifikan kepada sesiapa.

Tetapi, Nurul Izzah adalah pemimpin dalam parti sekutu PAS. Lebih dahsyat, beliau juga adalah anak kepada bakal Perdana Menteri yang dipersetujui sendiri oleh PAS.

Ini bermakna, kenyataan Nurul Izzah bukan sahaja membawa pengaruhnya tersendiri tetapi ia juga merupakan kenyataan bapanya, iaitu bakal Perdana Menteri PR jika memerintah negara ini. Maka, pastinya, kenyataan tersebut bakal dilaksanakan dalam pemerintahan PR. Ini adalah sesuatu yang pasti, apatah lagi dengan sokongan tidak berbelah bagi DAP yang begitu tegar, lantang dan degil memperjuangkan negara sekular. Tidak perlu dijelaskan lagi bahawa fahaman liberal Anwar dengan Negara Sekular DAP mempunyai persamaannya yang tersendiri.

Justeru, sekiranya PAS masih lagi hanya ‘mengecam’ kenyataan Nurul Izzah, tetapi tidak mengambil tindakan signifikan untuk menyatakan ketegasan dalam membela akidah, maka tidak salah jika dikatakan bahawa PAS juga bersubahat dalam menjayakan perjuangan Yahudi Zionis untuk melonggarkan pegangan agama umat Islam di Malaysia serta menyebarkan pluralisme. Hakikatnya, PAS hanya ada dua pilihan, iaitu terus menjadi rakan subahat golongan ini atau meninggalkan mereka dengan keluar parti.

Tiada jalan tengah lagi


Sunday, November 4, 2012

Harapan Palsu Disebalik Himpunan PR Di Seremban

Pakatan Pembangkang nampaknya belum mahu beralah apabila masih aktif memainkan propaganda angka dan nombor sambil mendakwa kekuatan yang mereka miliki amat menggerunkan pemimpin BN. Dalam perkembangan terbaru, Sabtu lepas para pemimpin PR telah mengerahkan para penyokong dan jentera-jentera pilihanrayanya berhimpun di Seremban, Negeri Sembilan dalam usaha mereka menonjolkan kekuatan jentera mereka untuk menggertak BN Negeri Sembilan.

Seperti biasa ahli dan penyokong PAS dari seluruh negera terutama dari Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta beberapa negeri lain di kerah menghadirkan diri.

PKR dan DAP juga turut sama mengeluarkan arahan kepada ahli mereka, bagaimanapun hanya terhad kepada mereka yang tinggal sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan sahaja.

Mengikut beberapa portal dan blog pro pembangkang lebihkurang 30,000 hadirin telah memenuhi majlis tersebut terutama semasa program pada malamnya, ramai yang berpayung dan ramai juga yang kesejukan ditimpa hujan.

Dengan tema Himpunan Kebangkitan Rakyat, pada awalnya PR menjangkakan 50,000 orang akan memenuhi setiap ruang padang yang seluas lebih kurang sebesar sebuah padang bola sepak di Taman Seremban Jaya itu. Itu jangkaan mereka beberapa hari sebelum program berlangsung. Namun kehadiran yang diumumkan oleh kebanyakan portal dan blog pembangkang ialah 30,000 orang.

Kebiasaannya jika angka jangkaan gagal ditepati maka ia dikatakan gagal atau kurang berjaya, tak begitu? Ramai penyokong PR yang sedar angka sasaran gagal digapai, namun ego sendiri dan malu alah sendiri terpaksa disembunyikan maklumlah setakat ini rekod kehadiran lebih 100k orang di Stadium Bukit Jalil dalam majlis anjuran UMNO belum lagi mampu di atasi. Hakikatnya, sama ada 30,000 orang atau 50,000 orang kehadiran di atas padang becak pada malam itu sebenarnya melampau lojik akal.

Satu meter persegi tidak mungkin mampu menampung 10 orang manusia yang berdiri sambil berpayung, tak gitu?

Padang yang sebesar lebih kurang sebuah padang bolasepak itu, hakikatnya cuma mampu menampung sekitar 10,000 orang sahaja atau dalam keadaan terlalu padat mungkin angka akan mencecah 13,000 hingga 15,000 orang.

Bila diambil kira ruang yang digunakan untuk pentas dan gerai-gerai orang berniaga, maka ruang kosong untuk hadirin di tengah-tengahnya akan makin mengecil.

Angka paling tepatpun hanya sekitar 7,000 hingga 8,000 orang sahaja yang hadir pada malam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban Sabtu lepas. Kalau nak bagi besarkan sikit angka, maka kita kira sekalilah jiran-jiran tetangga yang mendengar dari rumah-rumah dan kedai berdekatan, maka angka itu kita genapkan jadi 10,000 orang sahaja.

Tapi biasalah, sudah tabie semulajadi PR untuk memperbesarkan angka dan nombor, nawaitu yang penting bagi mereka ialah untuk menunjukkan mereka tetap kuat sekalipun terpaksa mengangkut penyokong. Soal terpaksa berhabis duit untuk menampung perbelanjaan menyewa hotel bujet dan wang pengangkutan tidak pernah menjadi persoalan, tapi ia akan menjadi isu besar kiranya BN yang melakukannya.

Dwi standard itu biasalah. Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu ketika mengulas program anjuran PR di Seremban itu gah menyatakan 'kejayaan' majlis Himpunan Kebangkitan Rakyat tersebut bakal membolehkan PR menguasai Negeri Sembilan.

Dengan yakin Mat Sabu mengumumkan bahawa semasa PRU 13 kelak menjelang jam 7 malam hari mengundi kelak akan diketahui bahawa Wisma Negeri sudah ditawan oleh PR.

Over confident betul. Mat Sabu lupa, dalam menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan negeri hanya pengundi anak negeri berkenaan sahaja yang layak membuat keputusan.

Penyokong DAP, PKR dan PAS yang diangkut dari Kelantan, Perak, Terengganu misalnya hanya sekadar dapat meramaikan majlis tapi tidak layak untuk mengambil bahagian menentukan kerajaan negeri lain, kecualilah kalau PR sebenarnya telah secara terancang memindahkan para pengundinya ke kawasan-kawasan atau negeri lain.

Atau sebenarnya, keyakinan Mat Sabu itu disebabkan sudah ramai pengundi PR dipindahkan ke kawasan-kawasan BN, sebagaimana pernah dilakukan oleh PAS Kedah, PAS Kelantan dan PKR Selangor yang aktif memindah pengundinya ke DUN dan Parlimen milik BN?

Apapun, tak salah untuk Mat Sabu terus berangan, namun percayalah tak selamanya majoriti rakyat akan lena diulit mimpi dan harapan palsu dari PR kerana bila tiba masa mengundi nanti, sebahagian besarnya tetap akan mendahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi propaganda pemimpin PR.