Friday, October 5, 2012

PRU 13: Azmin Kemaruk, Khalid Terpinggir, Mustapha Ali Kena Ketuk

Belumpun wisel PRU 13 ditiupkan secara rasmi, kem-kem pihak berkepentingan dalam PR sudah bertelagah sesama sendiri berhubung perebutan jawatan Menteri Besar Selangor yang sekarang ini sedang disandang Khalid Ibrahim.

Semuanya gara-gara kenyataan Timbalan Presiden PKR yang menyatakan Selangor akan mendapat MB baru selepas PRU 13 serta turut mengesahkan perkara tersebut sedang dalam perbincangan pimpinan tertinggi PR.

Kenyataan Azmin Ali itu kemudian menjadi kontroversi memaksanya membuat 'pembetulan' terutama sekali selepas Setiausaha Agong PAS, Mustapha Ali menegurnya kerana bimbang kenyataan Timbalan Presiden PKR itu akan mengelirukan penyokong pakatan pembangkang.

Namun demikian, dikalangan rakyat Selangor tak ada yang keliru pun kerana umum mengetahui Azmin telah agak lama mengidam dan begitu kemaruk sekali untuk mengambil alih jawatan tersebut. Kontroversi kali ini hanyalah lanjutan dari beberapa konflik dalaman yang pernah tercetus sebelum ini.

Melihat pada rekod dan sejarah Azmin dalam membelasah musuhnya dalam PKR dan PR hingga lunyai, tidak sukar untuk kita jangkakan Khalid juga akan mengulangi nasib yang sama sebagaimana pernah di alami Zaib Ibrahim dan Hasan Ali.

Zaid yang diawal kemasukannya dalam PKR disambut meriah bagai pahlawan akhirnya terpelanting keluar selepas dilihat berpotensi mencabar populariti dan kewibawaan Azmin dalam PKR.

Hasan pula disepak terajang oleh PAS selepas Azmin memberi kata dua kepada pemimpin PAS supaya mengambil tindakan keras berikutan kenyataan Hasan yang menolak demonstrasi 901 pada Januari lepas.

Selepas PRU 13 sama ada PKR kekal atau rebah di Selangor, tetap tiada maknanya dunia politik untuk Khalid. Sama ada dia akan terpinggir sendiri atau dipinggirkan secara terhormat, semuanya menjurus kepada kejatuhannya dari hierarki kepimpinan PKR.

Dalam pada itu, keterlanjuran Mustapha Ali menegur Azmin nampaknya mengundang padah apabila dalam satu mesej tweeternya kepada seorang pembacanya, Azmin memperlekehkan teguran pemimpin PAS itu sebagai kenyataan dari orang yang mudah melatah disebabkan faktor usia yang semakin tua.

Reaksi Azmin itu agak keras seumpama satu ketukan yang agak menyakitkan singgah di atas kepala Setiausaha Agong PAS. Satu penghinaan yang agak memilukan hati barangkali.

Tapi nasib Mustapha boleh dikira masih baik kerana cuma diketuk sahaja dan bukannya dibicarakan dan dipecat dari parti tanpa bela diri seperti mana dialami bekas Naib Presiden PAS, Hasan Ali.

Namun tentunya ia mengundang amarah dikalangan penyokong dan ahli PAS tapi percayalah, dalam keadaan sekarang di mana PAS hanyalah ibarat keldai tunggangan untuk PKR dan DAP, tiada apa yang dapat PAS lakukan dalam menghadapi sikap Azmin yang kurang ajar dan terlampau ego itu.

Apapun, PRU 13 belum pun membuka tirai namun dikalangan pemimpin PR sudah berperang merebut jawatan yang belum tentu akan kekal di tangan mereka lagi. Nampak sangat nawaitu perjuangan politik terlebih-lebih mengutamakan kepentingan perut sendiri berbanding khidmat bakti untuk rakyat.

Sama-samalah kita tunggu PRU 13 dan kita akan saksikan di antara mereka bertiga ini, Azmin, Khalid dan Mustapha, siapa yang masih kekal berpaut di dahan kering atau tak mustahil kesemua mereka dicampak oleh rakyat jauh terperosok ke dalam longkang.


No comments:

Post a Comment