Friday, October 5, 2012

Air Empangan Susut: Bukti Selangor di Ambang Krisis Air

Kita tidak faham kenapa kerajaan PR Selangor masih menafikan yang negeri yang diperintah mereka ini bakal berdepan dengan krisis air yang kronik.

Tidak mungkin mereka tidak mampu memahami fakta dan angka yang menjelaskan masalah ini. Tidak mungkin juga mereka tidak turun melawat sendiri ataupun melihat gambar-gambar empangan yang didedahkan oleh beberapa blog dan laman web yang menunjukkan jumlah takungan air yang menyusut dengan kadar yang pantas.

Antara yang terbaru ialah empangan Sungai Selangor dekat Jalan Kuala Kubu Bharu yang didedahkan oleh Mynewshub semalam. Air di empangan ini yang berukuran lebih kurang 600 hektar telah susut hampir 40 peratus dari paras takungan yang sepatutnya iaitu kira-kira 235 juta meter padu.

Salah satu sungai iaitu Sungai Liut yang menjadi sumber kepada takungan air di empangan itu juga semakin kering untuk menyalurkan air ke dalam empangan tersebut.

Gelongsor limpahan di empangan juga sudah hampir lima bulan tidak dilimpahi air menyebabkan tiada simpanan air di empangan pengawal Sungai Selangor.

Justeru, apakah alasan kerajaan PR Selangor bagi terus berdegil menyatakan yang krisis air yang dibimbangi BN hanya mainan politik?

Krisis air Selangor dijangka berlaku pada 2014 atau lebih awal berdasarkan kajian dan unjuran yang dijalankan oleh pakar.

Masalah kekurangan bekalan air mula timbul selepas kerajaan PR Selangor membekukan perbelanjaan modal (Capex) syarikat konsesi yang menyebabkan syarikat tersebut tidak berupaya meneruskan kerja-kerja penggantian paip yang telah lama dan rosak. Sekali gus menyumbang kepada peningkatan bekalan non-revenue water (NRW) di negeri ini.

Secara dasarnya, negara ini mempunyai bekalan air hujan yang cukup tetapi, bekalan air terawat memerlukan loji dan teknologi rawatan yang sistematik yang mana membawa kepada projek Langat 2 yang dicadangkan oleh kerajaan BN Selangor yang terdahulu. Namun, kerajaan PR Selangor telah bertindak membekukan projek ini atas alasan ingin mengstruktur semula industri air di Selangor.

Alasannya ialah agar membolehkan kerajaan Selangor mengurus kadar tarif air dengan lebih rendah berbanding kenaikan sehingga 37 peratus yang dicadangkan syarikat konsesi air terlibat. Dalam ertikata lain, kerajaan PR Selangor mengambil pendirian bahawa mereka lebih rela jika rakyat tidak mendapat bekalan air bersih langsung daripada membayar harga yang tinggi untuknya.

Pendirian kerajaan PR Selangor ini amatlah mencurigakan, apatah lagi dengan terbuktinya bahawa janji mereka untuk memberi 20m padu air percuma kepada rakyat dalam PRU terdahulu hanyalah janji kosong di mana perlaksanaannya adalah tidak menyeluruh dan tidak adil kepada beberapa pihak.

Kini, krisis air yang bakal melanda semakin nyata dengan empangan-empangan yang semakin menyusut dan kering. Apakah kerajaan PR Selangor buta? Politik apakah yang sedang dimainkan oleh kerajaan Selangor? Salahkah jika rakyat terus meragui mereka?

Apakah kerana mereka terlalu angkuh untuk mengaku tersilap memahami dan mencongak fakta dan angka mengenai bekalan air, sehingga sanggup membiarkan rakyat menanggung derita?

Dengan kedegilan kerajaan Selangor, inilah disarankan agar rakyat Selangor yang masih ragu-ragu mengenai isu air mengambil inisiatif sendiri untuk menyelidik perkara ini agar dapat membuat pilihan yang tepat dalam PRU nanti. Pastikan kerajaan yang dipilih dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan bukannya angkuh tidak bertempat. Jangan dua kali terhantuk sehingga berdarah baru hendak ditengadah. Ingatlah kata-kata Khalid Ibrahim, iaitu manifesto PR bukannya janji.


No comments:

Post a Comment