Saturday, January 26, 2013

PENYERTAAN DI W.E.F BERJAYA

DAVOS 26 Jan. - Penyertaan Malaysia secara besar-besaran di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) kali ini berjaya menarik perhatian ahli-ahli perniagaan terkenal dari seluruh dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.Perdana Menteri berkata, kehadiran Malaysia dalam WEF dibuat selepas kerajaan berpuas hati dengan pencapaian yang dicapai negara untuk dikongsi bersama masyarakat perniagaan antarabangsa.

“Dalam tempoh empat tahun ini, kita telah memperlihatkan bagaimana Malaysia mampu melakukan transformasi yang besar, khususnya dalam bidang ekonomi bagi mengisi cita-cita mencapai Wawasan 2020," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan malam Malam Malaysia pada hari terakhir lawatannya di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di sini, malam tadi.

Dianggarkan lebih 3,000 peserta menghadiri forum berprestij yang berlangsung selama lima hari sehingga esok, yang diadakan di bandar peranginan musim sejuk ini.Najib berkata, kejayaan yang diperoleh negara telah dipaparkan untuk dikongsi dengan masyarakat perniagaan antarabangsa yang sebahagian besarnya menghadiri WEF, di sini.

Katanya, ahli-ahli perniagaan dan pemimpin negara yang mendapat maklumat mengenai Malaysia memberikan respons positif kerana mereka kagum bagaimana negara dapat mencapai kejayaan ketika ekonomi dunia dalam keadaan suram.“Mereka tertarik dengan peluang-peluang yang boleh diperoleh di Malaysia berdasarkan beberapa faktor seperti pengenalan dasar-dasar kerajaan dan insentif menarik.

“Semakin mereka yakin terhadap Malaysia, semakin berjaya kita untuk menarik pelaburan luar dan seterusnya mewujudkan kerjasama dalam pelbagai cara dan kaedah," kata Najib yang pertama kali menghadiri forum ini sebagai Perdana Menteri.Sebelum ini, dua syarikat dari Jepun dan Jerman telah menyatakan minat mereka untuk membuat pelaburan kira-kira RM5.5 bilion dalam bidang petrokimia di Pengerang, Johor.

Katanya, sambutan terhadap acara-acara anjuran delegasi Malaysia di sini juga mendapat sambutan hebat seperti Malam Malaysia yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta WEF di sini.Perdana Menteri juga berkata, kerajaan mampu menggandakan pencapaian dan kejayaan ekonomi yang diperoleh negara masa kini jika terus diberi keyakinan oleh rakyat.

Katanya, antara pencapaian ekonomi negara ialah pertambahan pelaburan, peningkatan nilai pasaran bursa, menyediakan peluang pekerjaan, membendung inflasi dan kadar pengangguran yang rendah.Beliau berkata, Malaysia telah mencatatkan pencapaian ekonomi memberangsangkan sejak empat tahun lalu seperti meningkatnya pendapatan per kapita rakyat dari AS$6,700 (RM20,770) kepada AS$9,750 (RM30,225) tahun lepas.

“Kita percaya jika kadar pertumbuhan negara kekal mencecah lima peratus setahun, maka apa yang kita janjikan sebuah negara maju menjelang 2020 dengan pendapatan per kapita AS$15,000 (RM46,500) juga boleh menjadi kenyataan," katanya.Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Sri Rosmah Mansor dijangka pulang ke Malaysia hari ini dari Zurich. - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment