Perlukah soalan di atas ditanya kepada DAP? Rasanya tidak perlu, kerana untuk siapa lagi Bible berbahasa Melayu diedarkan jika bukan untuk mereka-mereka yang bertutur bahasa Melayu? Dan siapakah penutur bahasa Melayu jika bukan orang Melayu? Justeru, mungkin tajuk di atas perlu diubah-suai sedikit dengan menujukan soalan tersebut kepada PAS dan bukan DAP.
Kenapa PAS? Kerana PAS sering mendabik dada sebagai pejuang Islam dan ingin mempertahankan Islam.
Secara logiknya pejuang Islam tentulah menentang usaha DAP ini. Tetapi mungkin ada puak PAS yang bertanya, kenapa tidak ditanya kepada UMNO, bukankah UMNO juga mendabik dada mempertahankan Islam dan Melayu?
Jawapannya, kerana UMNO bukan sekutu DAP, dan UMNO tidak pernah berbuat kenyataan berikut: “Ada banyak buku dalam pasaran, banyak buku Kristian ditulis dalam Bahasa Malaysia. Dan, jika ada yang tidak boleh baca dalam Bahasa Malaysia, mereka akan membaca dalam Bahasa Inggeris, jadi saya tidak melihat sebarang sebab mengapa Kitab Injil harus ditahan,” katanya.” -- Nasharuddin Mat Isa, 15 Mac 2011 (Malaysian Insider) Tajuk laporan Malaysian Insider yang memaparkan kenyataan Nasharuddin tersebut menjelaskan segala-galanya iaitu “PAS Hormati Injil Bahasa Malaysia”.
Laporan tersebut dibuat oleh Malaysian Insider berdasarkan masalah kemasukan 35,000 nashkah injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia pada ketika itu. Perkara ini dibangkitkan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong dengan berkata, “tindakan Kementerian Dalam Negeri menahan dan merampas lebih 30,000 naskhah di dua pelabuhan adalah satu “perkembangan tidak menggalakkan sama sekali.”
Beliau menambah bahawa tindakan itu hanya akan memburukkan lagi imej mengenai Malaysia, yang dilihat sebagai negara moderat, di peringkat antarabangsa. Seterusnya, Malaysian Insider juga melaporkan bahawa banyak pihak termasuk rakan-rakan PAS dalam PR menggesa Putrajaya agar membenarkan kitab Injil Berbahasa Melayu dibawa masuk ke negara ini serta merujuk kepada masalah yang berlaku di pelabuhan sebagai ‘sifat cetek gagasan 1 Malaysia’.
Lim Kit Siang juga turut menyuarakan rasa ‘marah dan kecewa’ terhadap apa yang berlaku. Injil berbahasa Melayu dari Indonesia itu menjadi kontroversi apabila menggunakan nama Allah dalam merujuk kepada Tuhan agama Kristian. Akibatnya, kerajaan telah dikritik oleh pertubuhan Kristian dan dituduh dengan sengaja menahan kitab injil tersebut dari masuk ke Malaysia sedangkan ia tidak salah berdasarkan undang-undang negara.
Pembangkang pula, iaitu PAS, DAP dan PKR mengambil kesempatan membelasah kerajaan atas isu ini atas tuduhan mengambil sikap berat sebelah dengan melebihkan agama Islam serta tidak bersifat terbuka dalam soal agama. Laporan Malaysian Insider, termasuk dengan kenyataan Nasharuddin tersebut, adalah konsisten dengan pendirian Nik Aziz dalam isu yang sama sepertimana yang dilaporkan oleh Harakah 21 Januari 2010 iaitu “Kerajaan Kelantan tiada halangan bagi masyarakat bukan Islam negeri itu menggunakan kalimah ‘Allah’, baik dalam pertuturan maupun dalam buku-buku agama mereka.”
Dan ini pula petikan kenyataan rasmi Presiden PAS, Hadi Awang di laman rasmi PAS pada 5 Januari 2010, iaitu: “Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.” Nauzubillah min zalik!
Cikgu Adibah memetik kembali laporan-laporan dan kenyataan-kenyataan ini kerana terdapatnya puak-puak PAS yang cuba menafikan bahawa PAS menyokong Injil dalam Bahasa Melayu sambil menuduh UMNO sebagai tidak mengambil langkah sewajarnya untuk mengekangnya. Sedangkan, hakikatnya pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang bukan sahaja memberi lampu hijau malah menekan kerajaan agar ‘mengambil sikap terbuka’ mengenainya.
Kini, ‘berkat’ dari perjuangan PAS menyokong DAP agar Injil berbahasa Melayu dibenarkan, maka hari ini terbitlah lagi 100,000 injil berbahasa Melayu untuk edaran. Mungkinkah Nik Aziz akan berkata ‘Alhamdulillah!’ sebagai respon kepada perkembangan ini? Seperti yang dikatakan di permulaan artikel ini tadi, tidak perlu kita soal untuk apa dan kenapa atau kepada siapa Injil ini akan diedarkan oleh DAP.
Kita tahu bahawa tidak lain tidak bukan, ia adalah antara usaha menggiatkan lagi proses memurtadkan umat Melayu yang mana merupakan antara agenda utama Kristianisasi DAP. Dengan penggunaan kalimah Allah dalam kitab injil tersebut maka, agenda ini juga yang nampaknya sedang berjalan seiringan dengan agenda pluralisme PKR.
Dengan laporan Malaysian Insider dan Harakah di atas, maka kita juga nampaknya tidak perlu lagi menyoal apakah pendirian PAS mengenai isu ini. Sudah begitu jelas, terang lagi bersuluh bahawa PAS pastinya tiada masalah dengan 100,000 injil berbahasa Melayu untuk membantu penyebaran agama Kristian sekali gus usaha memurtadkan umat Islam oleh pihak gereja. Apakah PAS akan menafikan pernah berkata seperti di atas? Jika ya, maka PAS perlu terlebih dahulu menyaman Harakah dan Malaysia Insider.
Jika tidak, PAS wajar berhenti dari berdolak dalih dan mengaku sahaja bahawa mereka telah secara sedar atau tidak sedar, sengaja atau tidak sengaja, bersubahat dalam agenda kafir harbi untuk memurtadkan umat Islam.
No comments:
Post a Comment