Wednesday, September 26, 2012

Turun Naik Populariti Najib Perkara Biasa

Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak sehingga kini terus menjadi pilihan sebahagian besar rakyat Malaysia apabila 58% daripada 1,536 respondan yang dikajiselidik cukup selesa berada di bawah kepimpinannya.

Senario tersebut dapat dilihat dari keputusan kajiselidik terbaru yang dijalankan oleh Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL). Dalam kajian Mac lepas, UMCEDEL merekodkan populariti Najib berada pada aras 61%, sedikit tinggi berbanding laporan terkini yang dipaparkan.

Mungkin bagi pembangkang kejatuhan 3% populariti Najib adalah satu berita baik untuk mereka atau barangkali penurunan itu akan dikaitkan dengan 'kejayaan' PR menganjurkan beberapa siri demonstrasi jalanan seperti BERSIH 3.0, Himpunan Oren dan Janji Demokrasi.

Penurunan 3% tahap populariti PM itu bagaimanapun bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana turun naik populariti seseorang pemimpin utama negara sudah menjadi satu perkara biasa dan jarang statik pada satu-satu tahap sahaja.

Hakikat tersebut diakui ramai penganalisis politik dan mereka percaya ia hanya bersifat sementara sementelah lagi angka 58% itu jauh lebih baik berbanding rekod terendah hanya 45% respondan sahaja yang selesa dengan corak pentadbiran Najib semasa beliau baru mengalas jawatan tersebut pada April 2009.

Jika populariti Najib terus kekal di atas paras 50%, mana-mana pemimpin pembangkang khususnya Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim akan berdepan kesukaran untuk menggugat kedudukan Najib sebagai PM malah peluang PR merampas tampuk pemerintahan negara dari BN juga ibarat jauh panggang dari api.

Kerana memahami realiti itulah, Anwar dan ramai pemimpin PR cukup aggresif melakukan serangan peribadi terhadap Najib dan isterinya tapi hingga kini satu demi satu usaha tersebut menemui kegagalan.

Mungkin sedikit sebanyak serangan politik terancang yang dilakukan pembangkang ada kalanya berjaya memalitkan sedikit persepsi buruk pada Najib dan BN, namun ia biasanya tidak bertahan lama kerana kebenaran selalunya akan mengatasi kebatilan.

Lagipun, sejak Malaysia diterajui oleh Najib setelah mengambil alih jawatan PM dari Tun Abdullah Badawi Mei 2009, sudah banyak perubahan positif dirasai rakyat jelata.

Pelbagai program transformasi yang diilhamkan oleh Najib yang semakin menunjukkan hasilnya jika dibandingkan dengan jerit pekik dan propaganda kosong yang digebang oleh Anwar dan pakatan pembangkang, jelas wujud perbezaan ketara di antara kedua-duanya.

Dari situ, masyarakat umum sudah dapat menilai mana satu yang bermanfaat dan mana satu yang membawa mudarat. Itu hakikat yang menjadi faktor utama dan diambil kira oleh rakyat jelata dalam menentukan kelayakan seseorang pemimpin.

Najib telah menunjukkan kemampuannya memacu pembangunan negara malah ternyata cukup tahan layak dalam menghadapi kerenah pembangkang yang banyak ragam. Dan beliau telah membuktikan sikap caknanya terhadap kehidupan rakyat jelata, satu sikap murni yang diwarisinya dari Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak.

Justeru itu tidak salah untuk kita jangkakan apabila tiba PRU 13 kelak, akhirnya majoriti rakyat akan memuktamadkan pilihan mereka dengan memberikan kemenangan yang lebih besar kepada Najib dan pasukannya bagi meneruskan kesinambungan memakmurkan tanahair tercinta ini.


No comments:

Post a Comment