Thursday, September 6, 2012

PKR Takut Ditelanjang Lagi

Barangkali sudah serik dan perit bila kisah dalamannya kerap menjadi bualan umum dan sering menyebabkan kontroversi, akhirnya PKR Pulau Pinang mengambil keputusan menghentikan segera siasatan lanjut berkaitan insiden kebocoran minit mesyuaratnya.

Alasan yang mereka kemukakan bagi menjustifikasikan keputusan tersebut ialah untuk mengelakkan risiko 'family scandal' daripada terus merebak kepada pengetahuan umum.

Dalam minit mesyuarat ataupun transkrip perbualan yang terdedah pada umum itu antara lainnya mencatatkan kritikan pedas oleh Timbalan Ketua Menteri I (TKM I), Dr Mansor Othman dari PKR terhadap pemimpin utama DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Lim yang sekarang ini adalah Setiausaha Agung DAP telah digelar sebagai tokong yang angkuh dan sombong berikutan perwatakan dan pembawaan sikapnya yang semakin tinggi diri dan semakin jauh dari rakyat kebanyakan.

Turut direkodkan ialah perancangan sulit PKR dalam menghadapi pengaruh DAP yang dilihat mengancam kepentingan politik PKR di Pulau Pinang khususnya. Berikutan senario itu, PKR merancang untuk menyediakan calon-calonnya dari keturunan Cina sebagai persiapan awal untuk berdepan dengan DAP kelak.

Bijak atau tidak keputusan terbaru PKR itu bukannya satu persoalan untuk kita halusi tapi hakikatnya pendedahan minit mesyuarat atau lebih tepat lagi transkrip perbualan antara pemimpin PKR yang kecoh sebelum ini membuktikan terlampau dalam jurang kepercayaan antara mereka yang bersekongkol dalam PR.

Selain mendedahkan wajah sebenar pemimpin pakatan pembangkang yang hanya ceria di depan siap boleh bertepuk tampar antara satu sama lain tapi di belakang masing-masing siap sedia untuk menikam belakang rakan-rakan sepakatan, ia juga mengesahkan perjuangan para pemimpin PR hanyalah untuk memenuhi tembolok sendiri sahaja.

Layaklah kelakuan sedemikian rupa agak sinonim dengan ramai pemimpin pembangkang, sementelah lagi kewujudan mereka pun kebanyakannya kerana atas dasar kecewa dek kerana pembawaan diri yang tidak cocok dengan polisi dan dasar kerajaan pusat yang memerintah yang lebih mendahulukan kehendak rakyat.

Dalam jangka waktu sebulan dua ini sudah berkali-kali maklumat sulit hasil mesyuarat atau pertemuan sesama pemimpin PKR telah didedahkan kepada umum, termasuklah pembahagian kuota kerusi parlimen yang mahu dipertandingkan, perancangan Anwar dan Nurul Izzah untuk lari dari kawasan masing-masing serta beberapa yang lain.

Malah menurut satu sumber, kesan dari pelbagai pendedahan yang berlaku sejak akhir-akhir ini telah menambah curiga Ketua Umum PKR terhadap ramai anak buah termasuklah orang kanannya sendiri. Dengarnya sampai rimas dibuatnya beberapa orang kanan PKR melihat pada reaksi tersebut.

Mungkin selepas ini PKR terpaksa mengambil langkah lebih berjaga-jaga terutama sekali bilamana mahu membincangkan perkara sulit sesama mereka, jika tidak mahunya teruk ditelanjangkan lagi oleh orang-orangnya sendiri.


No comments:

Post a Comment