Kisah benar yang diceritakan oleh : Ustaz Haji Zainal Abidin Abdul Karim
Sebaik sahaja selesai dimandi dan muka Arwah dilap, mata saya terpaku menatap wajahnya. Seperti tidak percaya bahawa sesuatu yang amat luar biasa berlaku di hadapan mata saya. Dengan kekuasaan Allah Yang Maha Agung dan Maha Besar, wajah Arwah yang sudah berusia 60-an tiba-tiba bertukar menjadi seperti wajah yang berusia 30-an.
Kulitnya yang seketika tadi berkedut bertukar menjadi tegang. Raut wajahnya memang memikat sementara senyumannya cukup manis seolah-olah Arwah meninggalkan dunia yang fana ini dengan hati yang seronok Lama saya terpegun menatap wajah Arwah. Cukup hebat kekuasaan Allah swt hingga dalam waktu beberapa detik sahaja wajah yang sudah berkedut diubah-Nya menjadi kembali muda dan tampan.
Saya terus menatap wajah dari hujung rambutnya hingga ke hujung dagu dengan rasa yang amat kagum di atas kebesaran Allah swt dan kemuliaan Arwah. Tanpa disedari, orang semakin ramai dan berpusu-pusu menziarahi Arwah. Seperti saya, mereka juga berebut-rebut untuk menatap wajah Arwah. Dan seperti saya juga, setiap mata yang memandang Arwah pasti akan terus terpaku kepadanya. Sebilangan besar mereka juga tertanya-tanya, benarkah jenazah yang terbaring di hadapan mereka itu adalah Allahyarham.
Eh, betul ke bapa awak yang meninggal dunia ? Bukan adik ? Tanya salah seorang daripada mereka yang nyata tidak dapat mengecam wajah Arwah.
Betul, itu ayah saya, jawab anak Arwah. Bukan dia seorang, malah kebanyakan yang menziarahi Arwah juga begitu. Keseronokan segera terpancar di hati kami. Sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan jenazah, saya seperti tidak sabar-sabar lagi untuk meneruskan pengurusan jenazahnya. Sementara keluarga, saudara-mara dan orang ramai yang menziarahi Arwah terus ingin menatap wajah Arwah.
Walaubagaimanapun, yang pergi perlu diuruskan juga. Jenazah Arwah kemudiannya dikapan dan seterusnya dikebumikan. Sepanjang urusan tersebut, suasana cukup tenang, aman dan menyeronokkan. Tidak ada sebarang masalah yang kami tempuhi, malah orang ramai seperti berebut-rebut ingin membantu urusan pengkebumian jenazah arwah. Kembali dari pengebumian Arwah, fikiran saya terus menerawang mengingati kemuliaan Allah swt berikan kepada jenazah Arwah. Begitu sekali balasan yang Allah swt berikan kepadanya.
Namun bagi kami yang mengenali Arwah, memang layaknya dia diberikan kemuliaan sedemikian rupa kerana semasa hidupnya, Arwah memang seorang yang bertaqwa. Riwayat hidupnya dipenuhi dengan amal ibadah, bukannya perbuatan-perbuatan mungkar.Arwah adalah bekas pesara polis yang bertugas di Bahagian Perhubungan Awam, salah sebuah balaipolis di Kuala Lumpur. Semasa hayatnya, Arwah sangat dihormati kerana beliau merupakan seorang yang pemurah dan suka membantu orang yang dalam kesusahan.
Tugasnya sebagai pegawai polisdigunakan sepenuhnya bagi membantu orang ramai. Arwah tidak pernah berkata ‘tidak’ bagi setiap orang yang meminta pertolongan, walaupun mereka datang pada jam 2 – 3 pagi. Dikejutkan pada waktu tengah malam dan dinihari ketika di luar tugas juga adalah perkara biasa bagi Arwah dan setiap tetamu yang datang disambutnya dengan muka yang manis. Ketika orang lain sedang nyenyak tidur , dipeluk kedinginan pagi dan dibuai mimpi, arwah bersengkang mata membantu orang yang datang meminta bantuannya.
Dia tidak pernah merungut malah bersedia membantu mereka dengan hati yang gembira. Selain Arwah, isterinya juga bersikap demikian. Mereka berdua tidak pernah lekang daripada membuat amal jariah, membantu anak-anak yatim dan pelajar-pelajar universiti dengan mengambil mereka sebagai anak angkat. Anak yatim dan anak angkat yang mereka pelihara telah berjumlah puluhan orang. Melakukan kebaikan bukanlah satu perkara yang mudah. Pasti ada sahaja orang yang iri hati dan berprasangka buruk.
Walaupun bermacam-macam tomahan dan kata-kata yang cuba melemahkan semangat, namun mereka tidak mengambil peduli. Malah dia tetap seperti biasa membantu orang yang memerlukan pertolongannya. Bagi Arwah, menghulurkan bantuan lebih besar nilainya daripada wang ringgit. Arwah juga tidak berkira langsung dari segi wang ringgit hinggakan jika tidak mempunyai wang, Arwah sanggup meminjam daripada anak-anak atau isterinya. Ini merupakan satu pengorbanan yang amat besar demi membantu insan lain.
Gaji Arwah bukanlah besar, tanggungannya juga bukan ringan, namun Arwah tidak pernah menunjukkan kesusahannya kepada orang lain. Selain itu, Arwah juga dikenali masyarakat sebagai seorang yang warak. Beliau adalah merupakan seorang imam surau semasa hayatnya. Walaupun sudah beberapa tahun Arwah pulang menghadap Ilahi, namun sehingga kini orang masih menyebut-nyebut tentang kebaikannya. Anak-anak angkat Arwah juga masih datang ke rumahnya, bermalam sewaktu cuti dan berhari raya bersama keluarga di situ.
Jangan menganggap keakraban itu sebagai biasa kerana sebilangan daripada anak-anak angkat Arwah berasal dari Sabah, Sarawak dan negeri-negeri yang dari ibu kota ini. Kemuliaan yang Allah swt berikan kepada Allahyarham itu mengingatkan saya bahawa di dalam syurga nanti tiada orang-orang yang tua. Semua penghuni syurga muda-muda belaka, tampan, cantik dan menawan. Adakah iktibar ini yang ditunjukkan oleh Allah swt menerusi keajaiban yang berlaku ke atas jenazah Arwah ?
Walaupun peristiwa itu berlaku lima tahun yang lalu, namun kesempatan menguruskan jenazah Arwah adalah satu kepuasan kepada saya. Itulah pengalaman paling menarik sepanjang penglibatan saya sebagai sebagai pengurus jenazah. Ia sungguh bermakna dan memberi keinsafan kepada diri saya.
No comments:
Post a Comment