Wednesday, August 1, 2012

Lajim Ukin Jarang ke Pejabat Sejak Mac 2012

Perkembangan terbaru yang diberitakan oleh TV3 malam semalam mengesahkan bekas pemimpin UMNO Sabah, Lajim Ukin telahpun dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sebelum ini pada Sabtu lalu, Lajim telah bertindak meletakkan jawatan sebagai anggota MT dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort serta Pengerusi BN Beaufort, namun dimasa yang sama masih enggan melepaskan jawatan Timbalan Menteri.

Keengganan Lajim untuk meletakkan semua jawatan secara serentak hanyalah satu lakonan politik murahan yang matlamatnya sengaja mahu mensensasikan isu supaya dapat menarik perhatian ramai terhadap dirinya.

Sebetulnya pelucutan jawatan Lajim sebagai Timbalan Menteri merupakan satu langkah yang bijak dan tepat.

Sampai bila mahu disimpan saja orang sedemikian yang langsung tidak memiliki prinsip yang jelas kerana kerap berubah-ubah pendirian dan gemar bermain tarik tali untuk kepentingan diri sendiri.

Lagipun mengikut sumber dari kementerian terbabit, sejak Mac lalu lagi Lajim sudah jarang masuk ke pejabatnya. Malah ruang pejabatnya sudah lama kosong dan segala barangan peribadi juga sudah lama di bawanya keluar.

Ini bermakna sejak Mac hingga Julai 2012, sekurang-kurangnya sudah tiga, empat bulan kerajaan terpaksa membayar gaji Lajim sekalipun dirinya jarang masuk ke pejabat untuk menunaikan amanah dan melaksanakan tanggungjawab tugasan.

Apakah tidak ada sedikit rasa malu dalam sanubari dirinya apabila gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri tapi masih tidak segan pula bercita-cita ingin menjadi Ketua Menteri Sabah?

Bayangkan sekiranya kedudukan Lajim sebagai Timbalan Menteri dikekalkan, tentu sahaja hanya akan membazirkan wang rakyat untuk membayar khidmat seorang pemimpin yang hanya makan gaji buta.

Sepatutnya sejak Mac lepas Lajim sudah secara terbuka menyatakan dirinya sudah tidak lagi mampu menjalankan tugas dan amanah sebagai Timbalan Menteri.

Tapi, ternyata Lajim lebih mengutamakan kepentingan sendiri apabila tetap berterusan bermain tarik tali semata-mata mahu memaksa PM untuk akur pada permintaan peribadinya.


No comments:

Post a Comment