Tuesday, September 9, 2014

PAS-PR: HUBUNGAN CINTA PALING SUCI



Hanya kerana akur kepada titah Sultan serta tidak bersetuju dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat, PAS kini menjadi sasaran kritikan berbagai pihak di dalam PR termasuk dari dalam PAS sendiri. Ketaatan PAS kepada Sultan Selangor menyebabkan parti itu berpecah sehingga tertubuhnya NGO baru yang diberi nama PASMA.

PASMA dianggotai oleh ahli-ahli PAS yang pro kepada PKR dan DAP iaitu membawa pendirian moderat-liberal. Ketiga-tiga pihak iaitu PKR, DAP dan PASMA kini dilihat secara bersepadu dan bertalu-talu menyerang Presiden PAS, Hadi Awang seolah-oleh beliau menjadi punca berlakunya krisis jawatan Menteri Besar Selangor.

Hakikatnya, krisis itu tidak perlu pun berlaku memandangkan tiada alasan konkrit bagi mana-mana pihak untuk menggantikan Khalid Ibrahim secara tiba-tiba. Kalaupun berlaku, ia sepatutnya telah lama selesai sekiranya Pakatan Rakyat mencadangkan nama yang lebih layak untuk memegang jawatan tersebut.

Cadangan melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar adalah satu cadangan yang dilihat sengaja ingin mencari masalah dengan Baginda Sultan.

Wan Azizah terkenal sebagai boneka Anwar di mana setiap jawatan yang dipegangnya hanyalah bersifat ‘bayang-bayang’ iaitu sebagai simbol kekuasaan Anwar Ibrahim di dalam PKR dan PR. Sedangkan sejak berkecimpung dalam politik, Wan Azizah telah membuktikan bahawa beliau tidak mampu menjalankan walau satu pun tugasnya dengan baik, sama ada sebagai wakil rakyat mahupun Presiden parti.

Dengan mencadangkan seorang yang tiada kredibiliti sebagai calon Menteri Besar di sebuah negeri yang paling kaya di Malaysia, menunjukkan betapa PKR merupakan sebuah parti yang tidak bertanggungjawab selain mengamalkan nepotisme tegar, terang-terangan dan membuta tuli.

Rakyat Selangor secara keseluruhannya berada di belakang Sultan menolak Wan Azizah sebagai MB. Justeru, tidak keterlaluan dikatakan bahawa rakyat Selangor wajar berterima kasih kepada Hadi Awang kerana memainkan peranan merealisasikan harapan rakyat menghalang perlantikan Wan Azizah.

Atas ketegasan Hadi Awang yang jarang-jarang dapat dilihat ini, maka beliau telah menjadi sasaran kutukan, hinaan dan cercaan PKR, DAP dan PASMA. Berbagai-bagai tuduhan dan gelaran dilemparkan kepada beliau seolah-olah jawatan beliau sebagai Presiden PAS tidak punya nilai sama sekali. Beliau dituduh ‘chauvinist’, penipu, munafik, tidak boleh dipercayai dan berbagai-bagai gelaran yang tidak sedap oleh ahli parti sekutu, termasuk partinya sendiri.

Apa yang menghairankan ialah biarpun dihina sebegitu rupa, dipijak-pijak dan ditunjal-tunjal kepala, Hadi Awang masih lagi ‘sayang’ kepada Pakatan Rakyat. Tidak sekali pun beliau mengugut untuk keluar PR atau memecat ahli yang menganggotai PASMA.

Mungkin bagi Hadi, pertelingkahan antara mereka sama saja seperti masalah keganasan rumahtangga.

Biarpun digertak, diherdik dan dipukul, si isteri tetap setia menyayangi suami. Mungkin si-isteri telah kehilangan keyakinan diri untuk berdikari sekiranya ditinggalkan suami. Atau mungkin juga si-isteri enggan meninggalkan ‘kekayaan’ yang dinikmatinya bersama suami.

Hadi Awang umpama isteri itu, manakala penyokong-penyokong beliau umpama anak-anak dan keluarganya. Kesemua mereka nampaknya begitu nekad untuk memastikan perkahwinan itu berjaya walaupun ia mungkin bermakna Hadi terpaksa menahan belasahan dan herdikan setiap hari selama-lamanya.

Tidak mustahil si suami sudah tidak tahan ingin menggantikan Hadi dengan isteri baru, iaitu Mat Sabu. Malangnya, Hadi masih lagi enggan memahami dan mengundur diri.

Jika keadaan telah terlalu parah, Hadi mungkin akan ditendang keluar dari rumah sehelai sepinggang, tanpa anak-anak atau kaum keluarganya

No comments:

Post a Comment