Tuesday, September 3, 2013

TAMBAH BAJET INSTITUSI KEMAHIRAN

Kementerian Sumber Manusia berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menambah peruntukan bagi memperkasa dan membaik pulih institusi kemahiran dan latihan dalam Bajet 2014 nanti.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata, peruntukan bersesuaian itu perlu bagi melahirkan lebih ramai pekerja mahir.

"Pada pembentangan Bajet 2013 yang lalu, sebanyak RM220 juta telah diperuntukkan kepada institusi, justeru pihak kementerian berharap jumlah itu ditambah bagi memastikan institut latihan dan kemahiran dapat dinaik taraf.

"Ini adalah bagi memastikan pelajar bidang kemahiran terutamanya daripada kalangan belia dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam suasana pembelajaran yang kondusif." katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pembangunan Dana Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2013 di sini hari ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 28 peratus pekerja mahir berjaya dilahirkan oleh institut latihan dan kemahiran.

"Menjelang tahun 2015, kita sasarkan akan meningkat kepada 33 peratus. Kita juga yakin menjelang tahun 2020 nanti, 50 peratus pekerja mahir mampu dilahirkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Zainal berharap pihak majikan sama ada awam atau swasta bekerjasama dengan PSMB untuk meningkatkan kemahiran pekerja ke tahap lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment