Monday, April 22, 2013

Pengundi Perlu Pilih Parti Mampu Tubuh Kerajaan Yang Kuat, Bawa Kejayaan – Najib

SHAH ALAM, 22 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengundi perlu memilih parti politik yang mampu menubuhkan kerajaan yang kuat, dan yang mampu membawa kejayaan kepada negara.

Perdana Menteri berkata untuk itu, rakyat harus kembali kepada objektif utama pilihan raya umum yang bertujuan untuk menubuhkan kerajaan yang kuat.

“Kalau kita ikut perasaan, kita tumpu pada calon individu, maka kita sudah kalih daripada tujuan utama pilihan raya diadakan iaitu tidak lain tidak bukan adalah berkenaan soal masa depan negara dan anak-anak kita yang terlalu ternilai.

“Ia tidak boleh terpesong pada hakikat bahawa kita perlu sebuah kerajaan di peringkat pusat dan negeri yang kuat dan berwibawa untuk menjayakan segala dasar negara, wawasan dan dasar transformasi nasional termasuk Aku Janji kita,” katanya di sini selepas turun padang ke beberapa kawasan Parlimen Selangor sejak pagi.

Najib yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor sebelum itu melawat kawasan Parlimen Selayang, Gombak dan Shah Alam manakala malam ini kawasan Parlimen Subang.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata apa yang penting adalah untuk parti menggerakkan jentera pilihan raya dan mendapatkan kemenangan pada pilihan raya umum ke-13 ini, dan soal calon tidak lagi sepatutnya berbangkit kerana keputusan sudah dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

“Kita sudah bagi panduan maka jentera harus fokus dan bekerja penuh semangat dan tenaga, saya yakin dan percaya berdasarkan kepada suasana serta sentiment yang semakin hari semakin yakin kepada BN.

“Mereka (penduduk Selangor kini) kurang yakin malah kecewa dengan pakatan rakyat di Selangor, sudah ada keinginan untuk mereka kembali kepada BN,” katanya.

Mengenai pentadbiran di negeri Selangor, beliau berkata kerajaan pusat dipimpin oleh BN dan negeri dipimpin pakatan pembangkang tidak mewujudkan satu keadaan yang membolehkan kelicinan pentadbiran.

“Banyak kuasa kerajaan negeri yang menyentuh kepentingan kerajaan pusat, ini termasuk soal air dan kelulusan projek-projek pembangunan yang sah, jadi perlu penyelarasan di antara pusat dan negeri,” katanya.

Mengulas mengenai lawatannya ke Selangor hari ini, Perdana Menteri berkata secara keseluruhannya suasana di kawasan tersebut sama ada di peringkat jentera pilihan raya parti mahupun sambutan pengundi, adalah baik.

Mengenai tindakan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyertai Pas hari ini, Najib berkata ia bukan satu isu kerana sudah dijangkakan.

Ketika ditanya mengenai ada calon Bebas yang didakwa akan menjaja nama BN ketika berkempen, Pengerusi BN itu berkata apa yang penting sekali adalah parti dan bukannya individu atau calon.

“Kita tekankan yang penting sekali adalah parti, pada kesudahannya pengalaman menunjukkan bahawa individu tidak kuat, nama-nama terkenal bertanding Bebas, mereka tidak dapat kejayaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment