Monday, April 22, 2013

Kebenaran Terserlah, Rakyat Tolak Provokasi dan Manipulasi Pembangkang

KUALA LUMPUR, 22 April – Tindakan pakatan pembangkang yang gemar bermain dengan sandiwara politik bagi meraih undi rakyat terserlah juga apabila ramai anggotanya meninggalkan parti terbabit dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik tempatan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata dengan perkembangan semasa yang banyak memihak kepada BN lantaran imej transformasi yang dibawa oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selain tindakan negatif dalam kepimpinan pakatan pembangkang.

“Rakyat bukan bodoh untuk melakukan penilaian terhadap pelbagai perkara yang berlaku di sekeliling mereka malah dengan apa yang berlaku di kalangan kepimpinan pakatan pembangkang menjadikan masyarakat semakin muak dan menolak mereka khususnya dalam berdepan PRU ke-13 ini,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, dengan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam pakatan pembangkang sama ada PKR, Pas dan DAP yang antaranya dalam soal pemilihan calon kerana lebih mengutamakan kroni selain ketidakadilan terhadap anggotanya sendiri.

“Anggota parti melahirkan rasa tidak puas hati dengan meninggalkan pemimpin dan perjuangan yang selama ini mereka dukung lantaran sedar bahawa apa yang mereka lakukan selama ini adalah sia-sia belaka.

“Jika selama ini masyarakat tertipu dengan pelbagai manipulasi dan provokasi pakatan pembangkang terhadap BN maka dengan terserlahnya pelbagai kebenaran maka sokongan terhadap pembangkang semakin pudar.”

Tegas beliau yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), jika sebelum ini kepimpinan dalam pakatan pembangkang seringkali menuding jari kepada pihak lain sebagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimanipulasi dan dituduh tidak telus, BN dianggap negatif dan kemudiannya keputusan pendaftar pertubuhan (ROS) juga duputar belit.

“Berkaitan dengan keputusan ROS berikutan pemilihan Jawatan Kuasa Pusat (CEC) DAP yang dianggap tidak telus maka orang lain juga dipersalahkan sedangkan terang-terangan bahawa ia tidak berkait dengan mana-mana pihak dan kemudiannya pemimpinnya memutarbelitkan keputusan berkaitan penggunaan logo sedangkan ROS tidak menyebut berkaitannya.

“Secara tidak langsung ia membuktikan bahawa terdapat pemimpin pembangkang yang sengaja cuba menimbulkan isu lain bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap kesalahan yang sememengnya dibuat oleh mereka sendiri sedangkan rakyat tidak bodoh untuk menilai,” tegasnya lagi.

Berkaitan pelbagai kepincangan dalam pakatan pembangkang, lebih 100 ahli DAP yang diketuai Timbalan Ketua DAP Cawangan Changkat Keruing, G. Haridas telah mengisytiharkan keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Turut sama berbuat demikian, seramai 68 ahli DAP kawasan Tanjung Bungah mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN setelah mendapati DAP gagal menunaikan janji untuk membantu penduduk di kawasan tersebut.

Tidak sampai 24 jam selepas proses penamaan calon yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri calon mereka, krisis dalaman pembangkang terus meruncing apabila Ketua PKR Cabang Lumut, M.P Shamugum bersama 13 ketua ranting parti di Parlimen itu mengisytiharkan meninggalkan PKR dan mengumumkan pembubaran PKR Cabang Lumut serta penutupan semua bilik gerakan jentera parti itu di 36 Pusat Daerah Mengundi (PDM) berkuatkuasa serta merta.

Dalam masa yang sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Tan Hock Leong mengumumkan keluar daripada PKR kerana kecewa dengan tindakan tidak adil PKR yang hanya meletakkan calon kroni semata-mata.

Dilaporkan juga, kira-kira 300 ahli dan penyokong PKR kawasan Parlimen Padang Serai di sini meninggalkan parti itu kerana kecewa dengan kepimpinan PKR yang didapati tidak memberi sebarang faedah kepada penduduk.

Bagi Pas pula, Kira-kira 200 penyokong tegar Pas di Kampung Pauh Dua dalam kawasan Parlimen Kubang Kerian turut bertindak keluar parti dan menyertai Parti Progresif Rakyat (PPP) kerana kecewa dengan perjuangan Pas yang didakwa tidak konsisten dalam perjuangan sementara di Kampung Tok Dor dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri Jabi, Setiu seramai 35 anggota dan penyokong PAS bertindak keluar parti dan menyertai UMNO.

No comments:

Post a Comment