Monday, February 11, 2013

Krisis Air: Beku Peruntukan Adalah Penyelesaian??!

Tindakan kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membekukan perbelanjaan modal (capex) kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dari tahun 2008 sehingga sekarang satu penganiayaan kepada rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

Beliau berkata, Syabas juga dianiaya kerana kerajaan negeri bukan sahaja bersikap lepas tangan ketika Selangor diancam krisis bekalan air tetapi juga menafikan kelulusan untuk syarikat itu mencari pembiayaan sama ada daripada sumber dalaman atau luar seperti bank komersial.

Namun, katanya, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM120 juta untuk memperbaiki sistem pembekalan air di Selangor baru-baru ini, ia ditohmah pula sebagai usaha menyelamatkan syarikat kroni.

"Kenapa kerajaan negeri tidak mengeluarkan apa-apa pun bantuan dalam menangani krisis air di Selangor? Mereka hanya bercakap, mengkritik, melemparkan tuduhan sama ada kepada Kerajaan Persekutuan ataupun Syabas tetapi tidak menghulurkan apa juga bentuk bantuan," katanya kepada Bernama.

Beliau mempersoal kenapa kerajaan Selangor sehingga hari ini bersikap lepas tangan dan menyalahkan Syabas sepenuhnya sedangkan tanggungjawab menyediakan air bersih jelas terletak pada kerajaan negeri bukan Syabas sepenuhnya.

Sulaiman menjelaskan, Syabas hanyalah syarikat yang mengedarkan air terawat yang dibeli daripada syarikat-syarikat yang memproses air mentah dan adalah tanggungjawab kerajaan negeri Selangor untuk memastikan air yang diproses dan kemudiannya dibekalkan kepada rakyat negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah mencukupi.

"Jadi saya tak nampak kenapa peruntukan RM120 juta ini nak dijadikan isu sedangkan dalam waktu yang sama mereka tidak menyumbang apa-apa pun bagi mengatasi masalah air yang sedang berlaku di Selangor.

"Inilah persoalan yang saya nak beritahu kepada Menteri Besar dan rakyat negeri Selangor. Kita kena tengok dalam keadaan ini, kerajaan negeri hanya nak mempolitikkan isu air ini, dengan harapan dapat membina satu persepsi yang buruk kepada kerajaan Persekutuan, kepada Syabas," katanya.

Beliau menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar bersama-sama bertanggungjawab dalam soal krisis air di negeri ini dengan menarik balik arahan pembekuan perbelanjaan modal untuk membolehkan Syabas beroperasi tanpa gangguan politik.

Ditanya mengenai contoh penganiayaan yang dimaksudkan, Sulaiman berkata, Syabas sepatutnya sudah dapat menggantikan 2,000km paip-paip lama dalam usaha mengurangkan air yang tidak mendatangkan hasil (NRW) seperti yang dikehendaki dalam perjanjian konsesi namun hanya berupaya menggantikan 800 km paip ekoran pembekuan itu.

"Akhirnya, banyak air yang hilang sewaktu penghantaran, sama ada paip bocor atau melalui kecurian. Dalam isu NRW ini, kalau betul kerajaan negeri tak nak jadikan isu politik, sepatutnya mereka dah tarik balik pembekuan capex ini.

"Rakyat pada keseluruhannya amat dukacita kerajaan Selangor nampaknya melepas tangan dan meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada Syabas. Itu sahaja yang mereka mampu buat dalam keadaan krisis air," katanya.

Beliau juga berkata, Abdul Khalid sepatutnya turun padang sendiri bagi merasai kesengsaraan rakyat yang menghadapi masalah bekalan air seperti yang melanda banyak kawasan di Ampang dan Pandan bulan lepas terutama mereka yang tinggal di rumah-rumah pangsa dan pangsapuri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment