Seawal Ogos 2011 kerajaan pusat telah memberi amaran mengenai krisis bekalan air yang akan bakal melanda menjelang tahun 2014.
Bukan sahaja Selangor, malah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan juga Putrajaya akan turut merana dengan melibatkan lebih 1.8 juta pengguna.
Ini bermakna Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (TTHA) sudah menyalakan lampu amaran merah sejak setahun lalu supaya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bersikap rasional dan pro-rakyat untuk bekerjasama dalam menjayakan Skim Bekalan Air Mentah dari Pahang ke Selangor.
Skim mega ini melibatkan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan pembinaan sistem-sistem bekalan air yang berkaitan dengannya.
Projek ini amat diperlukan kerana ia akan memastikan pemintaan bekalan air akan mampu ditampung secara stabil sehingga tahun 2029.
Apa yang Pakatan Rakyat lakukan setakat ini?
Mereka memilih untuk berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa dengan bermain politik kepartian sempit yang membahayakan kebajikan rakyat.
Pakatan Rakyat menunjukkan sikap keras kepala dan masih dengan alam fantasinya dengan mengatakan bekalan air terawat mencukupi sehingga tahun 2019.
Hasilnya, kini beberapa kawasan Kuala Lumpur,Hulu Langat dan Klang sering mengalami gangguan bekalan air akibat krisis air yang semakin serius di Lembah Klang.
Sebelum keadaan menjadi lebih parah, kerajaan pusat terpaksa mengambil langkah drastik untuk melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, samada dengan kerjasama kerajaan Pakatan Rakyat Selangor atau tidak.
Bagi kerajaan Barisan Nasional, kebajikan dan jaminan bekalan air bersih kepada rakyat wajib diutamakan, apa pun aral yang melintang atau halangan yang bakal di hadapinya dari Pakatan Rakyat.
Biarlah pembangkang bermain politik dengan menggadaikan hak rakyat namun BN sesekali tidak akan menghukum rakyat hanya kerana perbezaan fahaman politik.
Apabila ditekan oleh kerajaan pusat mengapa Pakatan Rakyat masih mahu menangguhkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, bermacam-macam alasan yang tidak logik dan masuk akal diberikan oleh Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin pembangkang.
Pakatan Rakyat bukan sahaja mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan malah memutar belit fakta kerana takut rakyat menolak mereka apabila tahu kedudukan isu yang sebenar.
Pada 23 Julai lalu, Exco Kesihatan,Pekerja Ladang,Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar mendakwa kerajaan negeri memohon RM225 juta dari kerajaan pusat bagi meningkatkan penjanaan air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1 (SSP1) dan Sungai Selangor 3 (SSP3).
Pakatan Rakyat cuba mengalih kesalahan ke atas bahu kerajaan pusat sekiranya permohonan peruntukan itu tidak diluluskan.
Sebenarnya sudah lama kerajaan pusat mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek-projek mitigasi bagi mengelakkan krisis air berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya walaupun mendapat tentangan daripada Pakatan Rakyat Selangor. Walaupun kerajaan negeri bertanggungjawab untuk memastikan semua loji rawatan air di Selangor membekalkan air terawat yang mencukupi untuk diagihkan kepada pengguna, namun kerajaan pusat prihatin dengan meluluskan peruntukan RM606 juta bagi pelaksanaan lapan projek mitigasi bagi mengelak krisis air pada tahun 2014.
Dengan kelulusan dana tersebut, kerajaan negeri Selangor kemudian bersetuju pula untuk melaksanakan 5 daripada 8 projek tersebut bernilai RM301 juta.
Bukankah dengan bersetuju melaksanakan lima projek mitigasi dengan bantuan kewangan dari kerajaan pusat, Selangor sebenarnya akur kebenaran bahawa krisis air akan berlaku dua tahun dari sekarang?
Maka hujah Pakatan Rakyat mengatakan bekalan air terawat mencukupi sehingga 2019 adalah palsu dan tidak disokong oleh fakta yang jelas.
Pada hari yang sama juga di dalam lama sesawang Selangorku, Dr Xavier membuat satu lagi pembohongan bahawa tanggungjawab menyelenggara dan meningkatkan kemampuan aset air di Selangor seperti loji adalah di bawah kerajaan pusat dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Beliau memberi alasan palsu dengan mengatakan aset-aset air tersebut telah dipajak kepada kerajaan pusat dan Syabas.
Hakikatnya, Selangor sebagai pemilik semua aset air di negeri itu, tidak pernah memajak mana-mana aset airnya kepada kerajaan pusat apa lagi Syabas.
Kedudukan sebenarnya adalah begini - kerajaan negeri Selangor memiliki aset air sebagaimana peruntukan perundangan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) khususnya di bawah Seksyen 188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
Akta ini bertanggungjawab bagi memastikan ketersediaan bekalan air terawat atau 'water supply availability' di loji-loji rawatan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Fungsi utama Syabas hanyalah sebagai operator pengagihan air di negeri Selangor iaitu untuk membekal dan mengagihkan bekalan air terawat.
Tugas teras Syabas ini telah termaktub di bawah Seksyen 191 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) oleh SPAN.
Jadi bukan menjadi bidang tugas Syabas untuk memastikan ketersediaan bekalan air terawat.
Kemudian pembohongan berterusan Pakatan Rakyat berhubung isu air di Selangor di sambung pula oleh Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago.
Beliau berkata kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa catuan air tidak perlu dalam masa terdekat menunjukkan Selangor tidak mengalami krisis bekalan air sekaligus menafikan keperluan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.
Kenyataan Tan Sri Muyiddin Yasin sama sekali tidak bercanggah dengan kenyataan Menteri TTHA, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebelumna yang mengatakan krisis air akan berlaku pada tahun 2014.
Perlu diketahui bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang sehingga kini enggan memberi kelulusan 'development order' bagi Projek Loji Rawatan Air Langat 2 supaya projek itu dapat disiapkan pada tahun 2014.
Untuk menyelamatkan keadaan, kerajaan pusat meluluskan peruntukan RM606 seperti yang telah diterangkan di atas.
Mungkin wakil rakyat DAP itu tidak membaca atau cuba menafikan kenyataan SPAN bahawa walaupun bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya keseluruhannya masih terkawal, terdapat beberapa kawasan dikenal pasti sering mengalami gangguan bekalan air.
Ini kerana rizab simpanan air yang sangat rendah iaitu purata 2.5 peratus sahaja berbanding paras optimum sebanyak 10 peratus.
Atas pandangan ini, maka Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Bekalan Air Selangor telah memutuskan catuan air tidak perlu buat masa ini kerana bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah mencukupi.
Bagaimanapun kerajaan meminta SPAN mengenal pasti kawasan yang kerap menghadapi gangguan bekalan air dan menyediakan pelan kontingensi sebagai persediaan menghadapi catuan.
Jika perlu, SPAN harus berbincang dengan Syabas dan kerajaan negeri Selangor bagimemastikan pengguna di kawasan terbabit mendapat maklumat yang jelas mengenai sebarang catuan air di masa hadapan.
Tidak cukup dengan dakwaan menyeleweng itu, Charles bermain dengan kata-kata bahawa jika tidak perlu catuan air, maka tidak adalah masalah air.
Jika tidak ada masalah air, mengapa pula kerajaan pusat mahu membina Loji Rawatan Air Langat 2?
Ini yang dikatakan logik songsang puak pembangkang.
Tidak mengenakan catuan air buat masa sekarang tidak bermakna masalah air tidak akan wujud pada masa akan datang.
Berlainan dengan mentaliti pembangkang yang mempunyai akal pendek dan fikiran cetek, kerajaan pusat telah melakukan kajian terperinci sejak tahun 2000 lagi mengenai Projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang dirancang untuk memenuhi permintaan bekalan air pada tahun 2014.
Hasil kajian ini telah diperakui oleh SPAN yang juga menjangka jumlah bekalan air dalam sistem bekalan air sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pada tahun 2014.
Malah SPAN juga mengunjurkan bekalan air yang dikeluarkan oleh 34 loji rawatan air di Selangor hanya dapat memenuhi permintaan air sehingga penghujung tahun 2012 sahaja!
Oleh itu, amat penting Loji Rawatan Air Langat 2 dibina sekarang bagi mengelakkan sebarabg krisis air menjelang, bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.
Charles juga menunjukkan kebodohannya dengan mendakwa desakan membina Loji Rawatan Air Langat 2 adalah untuk memberi kontrak pembinaan lumayan kepada kroni Umno-BN. Telah diumum serta ditegaskan oleh kerajaan pusat Projek Loji Rawatan Air Langat 2 akan cdilaksanakan secara tender terbuka kepada semua syarikat yang berkelayakan, malah anak syarikat kerajaan negeri Selangor juga dijemput menyertai proses tender.
Jadi jelas wakil rakyat DAP itu mereka-reka cerita untuk menutup kegagalan pembangkang menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor.
Selepas Dr Xavier, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismail pula bercakap tanpa mengguna otak.
Beliau mendakwa kerajaan negeri mahu ambil alih operasi Syabas kerana ia tidak mampu urus bekalan air tetapi usaha ini dihalang oleh kerajaan pusat.
Pembangkang cakap sembrono tanpa berlapikkan fakta yang tepat.
Ini kerana kerajaan pusat meluluskan permohonan kerajaan negeri Selangor atas tiga sebab:
1. kes yang difailkan oleh Syabas sejak tahun 2009 untuk menuntut pampasan berhubung keengganan kerajaan negeri menaikkan tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih belum selesai di mahkamah.
2. Syabas dan kerajaan negeri Selangor didapati melakukan keingkaran manakala tuduhan kerajaan negeri atas keingkaran yang dilakukan oleh Syabas tidak cukup kukuh sebagai alasan untuk mengambil alih operasi syarikat itu di bawah Klausa 32 Perjanjian Konsesi.
Mutakhir, Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim membuat kenyataan pada 26 Julai lalu yang dilapor oleh akhbar The Star bahawa kapasiti pengeluaran air di 34 loji rawatan air di Selangor pada masa ini adalah 4,807 juta liter sehari berbanding kemampuan agihan Syabas sebanyak 4,371 juta liter sehari.
Ini pun satu penipuan oleh Bapak Penipu di Selangor.
Berdasarkan maklumat SPAN, 34 buah loji rawatan air di Selangor direka bentuk untuk menghasilkan 4,581 juta liter sehari.
Oleh sebab kekangan dalam sistem pengeluaran beberapa loji dan sistem pengagihan pada masa ini, kapasiti air yang dapat diagihkan kepada pengguna hanya sebanyak 4,371 juta lkiter sehari sahaja. Apabila projek Mitigasi 1 dan 2 berharga RM606 juta yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat siap kelak, barulah pengeluaran air dapat ditingkatkan kepada paras optima 4,581 juta liter sehari.
Jumlah kapasiti pengeluaran yang disebut oleh Khalid sebanyak 4,807 juta liter sehari sebenarnya adalah jumlah kapasiti reka bentuk loji serta mengambil kira kapasiti lebihan yang dihasilkan oleh 5 loji yang sedang dioperasikan melebihi tahap reka bentuk iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor 2, LRA Sungai Semenyih, LRA Sungai Langat, LRA Sungai Batu dan LRA Bukit Tampoi.
Buat masa ini kapasiti yang relevan dalam pengagihan bekalan air kepada pengguna ialah 4,371 juta liter sehari. Inilah keperluan sebenar pengguna.
Angka kapasiti reka bentuk iaitu 4,581 juta liter sehari atau kapasiti pengeluaran loji sebanyak 4,807 juta liter sehari yang dipetik oleh Menteri Besar, tidak mencerminkan jumlah bekalan air sebenar yang boleh diagihkan kepada pengguna.
Ia juga memberi gambaran salah tentang kadar rizab simpanan bekalan air di Selangor pada ketika ini. Menyelewengkan fakta untuk mengaburi mata rakyat akan menyebabkan perancangan bekalan air menjadi pincang dan seterusnya menyebabkan pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menghadapi risiko krisis air pada masa hadapan.
Tidak pernah terlintas di fikiran Pakatan Rakyat Selangor untuk melaksanakan sebarang projek mitigasi untuk meningkatkan kapasiti loji rawatan air sedia ada seperti yang didakwa oleh Khalid dan barisan Exconya.
Walaupun hakikatnya 33 daripada 34 buah loji tersebut adalah aset milik kerajaan negeri, Pakatan Rakyat Selangor lebih banyak menggunakan masa mereka untuk berbohong kepada rakyat sementara masa depan bekalan air negeri itu berada di hujung tanduk.
No comments:
Post a Comment