Monday, July 30, 2012

PANAS: PKR Jangka Kalah 16 Kerusi Sedia Ada

Sumber-sumber dalaman mengesahkan bahawa PKR berada dalam keadaan yang agak ‘kecut’ untuk menghadapi Pilihanraya ke-13 kali ini.

PKR pada ketika ini mempunyai 31 kerusi dan mensasarkan tambahan 9 kerusi melalui PRU ini, menjadikan semuanya 40 kerusi. Walaubagaimanapun, analisis yang dibentangkan dalam Temurapat Pilihanraya parti tersebut memaksa PKR menerima realiti keadaan semasa yang menunjukkan jangkaan kehilangan 16 dari 31 kerusi sedia ada, dan hanya memenangi dua kerusi baru menjadikan jumlah kemenangan hanya 17 kerusi sahaja.

Kerusi-kerusi sedia ada yang dijangka jatuh ke tangan BN ialah Gombak, Indera Mahkota, Ketereh, PJS, Bagan Serai, Wangsa Maju, Ampang, Nibong Tebal, Selayang, Kelana Jaya, Merbok, Lembah Pantai, Telok Kemang, Kuala Langat, Sg. Siput dan Hulu Selangor.

Kerusi baru yang dijangka dapat ditawan ialah Bukit Katil dan Pandan.

Sebenarnya, ketidakyakinan PKR untuk menghadapi PRU adalah berasas. Ini berdasarkan hasil kajiselidik yang diadakan oleh beberapa pihak antaranya, Majlis Professor, universiti-universiti tempatan serta Merdeka Center yang menunjukkan bahawa populariti parti pembangkang semakin merosot akhir-akhir ini.

Malah, dalam semua kajian menunjukkan yang undi masyarakat Cina yang sebelum ini dikatakan amat kritikal bagi BN, juga semakin positif di pihak BN. Merdeka Center, contohnya, mendapati bahawa kaum Cina merasa gembira apabila Perdana Menteri mengiktiraf sijil Koleh TAR dan menghapuskan Akta Hasutan.

Dengan itu, PKR hanya mampu mensasarkan maksima 70% undi Cina bagi PRU kali ini walaupun sebelum ini begitu gah mengumumkan mendapat sokongan lebih 90% dari kaum itu. PKR juga menyedari yang undi Melayu kini berbalik kepada BN dengan pantas sekali.

Oleh yang demikian, antara strategi yang digariskan untuk menghadapi pilihanraya kali ini ialah agar Ketua Umum membuat kenyataan berani dan besar mengenai pembelaan kaum Melayu termasuk menjuarai beberapa kes kontroversi yang melibatkan nasib orang Melayu.

Nampaknya, PKR sekali lagi akan membuat ‘U Turn’ dengan kembali mengangkat perjuangan Melayu. Sebelum ini, PKR seperti juga PAS, telah ‘mempersetankan’ sahaja perjuangan demi bangsa Melayu. Siapa yang boleh lupa bagaimana beberapa pemimpin mereka mengungkap kata-kata ‘malu menjadi Melayu’. Malah, Anwar sendiri menghina ketuanan Melayu. Kononnya, bangsa tidak membawa apa-apa makna dan perlu dilupakan jika kita ingin hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

Sedangkan, kaum Cina dan India diberi ruang sebesar-besarnya untuk membela bangsa dan mempertahankan budaya dan bahasa bagi menyatakan kewujudan mereka yang kukuh di negara ini.

Kita pasti tidak semua kaum Melayu itu mudah lupa dan akan melupakan sahaja kata-kata dan layanan PKR terhadap mereka.

Oleh itu, jika PKR serius ingin mengangkat strategi ‘membela Melayu’ ini sebagai peluru untuk menyerang BN dalam pilihanraya, maka rasanya PKR terpaksa menambahkan lagi bilangan jangkaan kerusi yang mereka akan kalah.

Walaubagaimanapun, kita percaya, PKR cukup sedar akan kesilapan mereka dalam menangani soal ‘Melayu’ sebelum ini. Oleh yang demikian, mereka tidak meletakkan kaum Melayu sebagai satu faktor khas dalam Sasaran Pengundi. Secara keseluruhannya, pembentangan di dalam Temurapat Pilihanraya PKR tersebut meletakkan hanya tiga golongan sebagai sasaran pengundi iaitu:

1. ‘working class’ yang mengundi mengikut isu dan berumur antara 26 – 45 tahun,

2. ‘golongan muda’ yang mengundi mengikut sentimen ahli politik muda dan berumur antara 22 – 25 tahun serta

3. ‘pengundi India’ yang menjadi kumpulan penentu dan cenderung untuk beralih undi secara besar-besaran.

Secara dasarnya, nampak jelas bahawa PKR sendiri masih mencari-cari kekuatan diri untuk menghadapi PRU kali ini.

Masalah yang dihadapi PKR ialah sama seperti semua parti-parti sekutu dalam Pakatan Rakyat, iaitu walaupun mereka berada dalam satu pakatan tetapi mereka perlu menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya adalah bersendirian. Dengna itu, mereka bukan sahaja beradu kekuatan dengan BN tetapi secara tidak langsung mereka juga terpaksa membuktikan kekuatan sesama sendiri bagi memastikan parti dan pemimpin mereka tetap ‘diberi muka’ sekiranya PR menang dalam PRU ini.

Lebih malang lagi bagi PKR ialah apabila terdapat beberapa pihak di dalam kepimpinan atasan parti itu sendiri yang juga beradu kekuatan sesama mereka. Kewujudan beberapa ‘kem’ dan peningkatan rasa curiga serta ‘dingin’ di antara pemimpin-pemimpin PKR ini juga secara tidak langsung menyumbang kepada ketidakyakinan mereka untuk menang dalam Pilihanraya.


No comments:

Post a Comment